PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG) bagi meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini MCMC berkata INSG berfungsi sebagai satu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat ketika ini.
“Namun demikian MCMC menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik ini di dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif mereka dalam memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia," menurut kenyataan itu.
“Pendekatan ini memberi ruang kepada Penyedia Perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan garis panduan itu dan memberikan maklum balas penambahbaikan," menurut kenyataan itu.
MCMC berkata INSG bukan bertujuan untuk menambah peraturan baharu, sebaliknya ia bertujuan meningkatkan keupayaan dan ketersediaan Penyedia Perkhidmatan untuk mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan infrastruktur serta melindungi pengguna-pengguna daripada ancaman dalam talian.
Semasa fasa pembangunan INSG, MCMC telah secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen penyedia termasuk pusat data dan penyedia perkhidmatan awan, kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan forum di bawah MCMC.
“Maklum balas, cadangan dan pandangan yang diberikan telah dinilai dengan teliti dan jika sesuai, ia diserapkan ke dalam INSG. Pendekatan inklusif dan telus ini mencerminkan komitmen MCMC untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan dalam pengurusan keselamatan siber dipatuhi," menurut kenyataan itu.
MCMC berpandangan bahawa INSG merupakan satu langkah penting dalam melindungi ekosistem digital Malaysia, memastikan infrastruktur rangkaian yang selamat dan berdaya tahan untuk semua.
"Ia mencerminkan usaha berterusan MCMC untuk menangani cabaran landskap siber yang semakin kompleks sambil memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam persekitaran digital negara," menurut kenyataan itu.