AM

JKR SARAWAK GUNA PAKAI BIM UNTUK TERAJU TRANSFORMASI DIGITAL DALAM PEMBINAAN - UGGAH

09/12/2024 05:21 PM


From Zaphne Philip

KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersedia untuk menerajui transformasi digital industri pembinaan negeri dengan mengguna pakai sistem model bangunan bermaklumat (BIM), alat inovatif yang akan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kesilapan dan memastikan projek disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap infrastruktur negeri, JKR Sarawak sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi dan penggunaan BIM merupakan satu langkah berani dalam usaha mentransformasikan industri pembinaan.

"Dengan menunjukkan kelebihan BIM, kami dapat menggalakkan industri pembinaan di Sarawak untuk menerima pakai pendekatan transformatif ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari BIM JKR Sarawak 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata BIM tidak hanya terhad kepada pembinaan, malah ia menyepadukan maklumat terperinci berkaitan komponen bangunan, jadual penyelenggaraan dan kos kitaran hayat, menjadikannya alat yang sangat berharga untuk pengurusan aset secara proaktif, mengurangkan masa henti serta mengoptimumkan peruntukan sumber bagi infrastruktur milik kerajaan.

"Bagi pihak kerajaan, ini bermakna pengurusan aset awam yang lebih berkesan dan ketelusan lebih tinggi. Bagi rakyat Sarawak, ini bermakna infrastruktur yang lebih selamat, diselenggara dengan lebih baik yang memenuhi keperluan mereka untuk generasi akan datang," katanya.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata JKR Sarawak perlu bersedia menghadapi cabaran untuk menyiapkan projek mengikut masa dan kos ditetapkan serta memastikan kualiti dan keselamatan terutamanya apabila diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek bernilai RM1.3 bilion tahun depan.

Beliau berkata sebagai perintis dalam pelaksanaan BIM di Sarawak, JKR negeri mempunyai peluang untuk menjadi contoh dalam menunjukkan manfaat sistem terbabit, seterusnya memberi inspirasi kepada industri pembinaan di Sarawak untuk mengguna pakai pendekatan transformatif itu.

Uggah berkata pelan hala tuju Sarawak menyasarkan integrasi BIM sepenuhnya menjelang 2030 untuk projek melebihi RM10 juta dalam pembinaan bangunan dan RM100 juta dalam pembangunan infrastruktur.

"BIM bukan sekadar alat untuk hari ini, ia adalah pelaburan untuk masa depan iaitu industri pembinaan Sarawak diiktiraf sebagai contoh inovasi dan lestari," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan