AM

BANTUAN BANJIR DITERIMA DARIPADA PELBAGAI KAUM BUKTI KEHARMONIAN

09/12/2024 09:03 PM

TUMPAT, 9 Dis (Bernama) -- Kesepakatan dan keharmonian rakyat di Malaysia terserlah dengan melihat kemunculan orang ramai tanpa mengira keturunan, kaum, bangsa dan agama, dengan rela hari ‘turun padang’ berganding bahu menghulurkan bantuan buat mangsa bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak bulan lepas.

Sami di Wat Phothivihan di sini Parasik Ehlan, 58, berkata pihaknya menerima bantuan makanan kering dan keperluan asas daripada pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina bukan sahaja dari negeri ini bahkan termasuk dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kedah dan lain-lain.

Beliau berkata walaupun berbeza kaum, namun dia tidak sedikit pun berasa terpinggir dari segi penerimaan bantuan yang mencukupi, yang mencurah-curah tiba selepas penempatan beliau termasuk lapan orang sami di tokong itu ditenggelami banjir hampir satu meter, dua minggu lepas.

“Tokong ini turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penduduk di Kampung Jambu iaitu sekitar 300 orang, malah sepanjang musibah banjir saya lihat keharmonian rakyat yang amat ketara, ramai yang tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum dan agama.

“Boleh dikatakan sebahagian besar kawasan di Tumpat ini terjejas teruk akibat banjir gelombang pertama, namun bersyukur bantuan seperti makanan kering, minuman dan keperluan lain disalurkan tanpa henti daripada individu dan juga badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui Bernama di Wat Phothivihan hari ini.

Sementara itu seorang sukarelawan di Wat Phothivihan, Sunan Eh Put, 46, dari Kampung Jambu berkata semangat perpaduan yang menjadi keunikan negara ini dapat dilihat ketika rakyat Kelantan ditimpa musibah, dengan rata-rata masyarakat tampil menghulurkan bantuan terutama kepada kaum Siam yang merupakan antara terjejas teruk di jajahan Tumpat.

“Saya dilantik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menguruskan serta memantau keadaan mangsa banjir yang terkesan di Kampung Jambu iaitu majoritinya merupakan kaum Siam, malah kesemua mereka berteduh di Wat Phothivihan sepanjang penempatan mereka dinaiki air.

“Hanya hari pertama banjir sahaja bekalan makanan terjejas, namun kita memahami keadaan itu memandangkan ia permulaan, namun pada hari selepasnya, bekalan serta keperluan asas lain sangat mencukupi, dihulurkan oleh pelbagai pihak dan kaum termasuk dari luar Kelantan.

-- BERNAMA


© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan