KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyeru lebih ramai wanita agar menjadi sukarelawan untuk berganding bahu dalam organisasi kemanusiaan bagi membantu mereka yang memerlukan terutama semasa berdepan bencana.
Pengerusi BSMM Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata kehadiran sukarelawan wanita di lapangan akan menjadikan bantuan lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua golongan.
"Sebagai wanita pertama yang memegang jawatan Pengerusi dalam persatuan ini, yang secara tradisinya dipengerusikan oleh kaum lelaki, saya percaya ini juga menandakan perubahan dalam cara kami berkhidmat kepada masyarakat.
"Jadi, saya mahu menjadikan organisasi ini lebih inklusif untuk menarik lebih ramai wanita menjadi sukarelawan kerana mereka boleh menjaga golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak apabila berlaku bencana," katanya ketika ditemu bual dalam program The Nation terbitan Bernama TV yang bersiaran hari ini.
Tunku Puteri Intan Safinaz turut memuji usaha kerajaan menguruskan situasi banjir di beberapa negeri dan menzahirkan penghargaan terhadap sistem pengurusan bencana negara yang mantap.
"Terdapat satu sistem yang sangat teratur oleh pihak berkuasa, kita tahu berapa ramai wanita, kanak-kanak dan warga emas di pusat pemindahan sementara banjir.
"Jadi mereka tidak terabai di pusat pemindahan, ada akauntabiliti, ada perlindungan... di sinilah kami memainkan peranan iaitu melakukan pemeriksaan kesihatan, menghulurkan sokongan psikososial dan bermain dengan kanak-kanak sambil melakukan aktiviti bersama mereka di pusat pemindahan sementara bagi mengisi masa yang terluang," katanya.
-- BERNAMA