KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Digital hari ini menggerakkan pasukan sukarelawan pascabanjir menerusi Skuad Ihsan MADANI bagi menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas di Segamat, Johor.
Sesi pelepasan sukarelawan terdiri daripada Jabatan Digital Negara, MYNIC Berhad, CyberSecurity Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Digital Nasional Bhd (DNB), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan MyDIGITAL Corporation (MyDIGITAL Corp) disempurnakan Menterinya Gobind Singh Deo.
Gobind berkata 12 sukarelawan terlibat dalam misi kumpulan pertama yang akan menghantar 100 kotak sumbangan mengandungi barangan keperluan antaranya air mineral, lampin pakai buang, tuala wanita dan keperluan peralatan mandian kepada 33 keluarga yang terjejas.
"Kita semua tahu banjir telah berlaku di beberapa tempat di Malaysia tetapi Kementerian Digital diberikan tanggungjawab untuk fokus ke negeri Johor.
"Selepas ini kita akan pastikan bahawa barangan akan dihantar ke tempat lain di negeri Johor yang memerlukan bantuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pelepasan melibatkan empat kenderaan sukarelawan berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata bantuan disalurkan berdasarkan kepada permintaan dan keperluan mangsa terjejas.
"Kementerian Digital akan membuat segala yang terbaik untuk membantu mereka (mangsa) yang terjejas dengan banjir ini dan saya harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban," katanya.
-- BERNAMA