AM

KURANG KESEDARAN PUNCA RAMAI RAKYAT MALAYSIA MENDERITA KERANA COPD

12/12/2024 08:39 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD) merupakan masalah kesihatan yang serius namun kurang mendapat perhatian di Malaysia kerana tahap kesedaran dan pemahaman mengenai penyakit itu yang masih rendah.

 

Penyakit itu menimpa sebahagian besar populasi dunia dan merupakan punca kematian tertinggi di seluruh dunia dengan 3.23 juta kematian pada 2019.

 

Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Respiratori dan Pulmunologi Intervensi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Syed Ajmal Syed Ali dalam kenyataan berkata tahap kesedaran rendah merupakan cabaran utama Malaysia dalam melawan COPD yang turut meliputi bronkitis kronik dan emfisema.

 

Beliau berkata prevalens merokok yang tinggi merupakan pendorong faktor utama penyakit itu apabila kira-kira 19 peratus individu berusia 15 tahun ke atas merupakan perokok di Malaysia.

 

"Merokok ialah faktor risiko utama COPD dan ia berkait secara langsung dengan kekerapan dan berapa lama anda merokok. Dari segi simptom termasuk batuk berterusan yang pada awalnya sering disangka sebagai batuk biasa akibat merokok atau asma, banyak kes hanya didiagnos apabila simptom semakin teruk, biasanya ketika sudah berusia 60 tahun dan ke atas," katanya.

 

Memetik Tinjauan Kesihatan Remaja Malaysia 2022, beliau mendedahkan trend yang membimbangkan iaitu penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja di negara ini yang berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022, manakala kadar mereka yang merokok dalam kumpulan ini menurun daripada 13.8 kepada 6.2 peratus. 

 

Dr Syed Ajmal berkata terdapat salah faham bahawa COPD ialah penyakit berkaitan penuaan sedangkan ia juga boleh menimpa orang muda terutamanya perokok dan bekas perokok. 

 

 Beliau berkata ramai pesakit yang tidak berpengetahuan tentang COPD menganggapnya sebagai asma atau mengaitkannya dengan tanda-tanda penuaan, ditambah pula dengan perkembangan penyakit yang perlahan, sering kali menyebabkan kelewatan diagnosis sekali gus mengehadkan pilihan rawatan. 

 

Sehubungan itu, Dr Syed menekankan kepentingan pendidikan awam mengenai COPD serta usaha meningkatkan kesedaran menerusi kempen media di samping kumpulan sokongan bagi menggalakkan diagnosis awal dan pengurusan penyakit yang lebih baik.

 

Beliau berkata meskipun merokok merupakan punca paling lazim COPD, pendedahan kepada alam sekitar tidak sihat seperti pencemaran udara dalam rumah daripada bahan bakar biojisim dan bahaya pekerjaan seperti menyedut habuk halus seperti habuk silika, gas dan asap daripada relau dan dandang, turut menyumbang kepada penyakit itu.

 

Selain itu, faktor genetik iaitu kekurangan alpha-1 antitrypsin yang berfungsi melindungi paru-paru boleh mencetus COPD pada individu bukan perokok dan dianggarkan seorang dalam 2,000 hingga 6,000 individu kekurangan komponen ini di seluruh dunia.

 

Dr Syed Ajmal berkata peningkatan kesedaran dan akses kepada rawatan membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik justeru beliau menggesa perokok dan bekas perokok supaya melakukan pemeriksaan untuk mengesan penyakit itu.

 

"Pengurusan COPD yang berkesan memberi tumpuan kepada memperlahankan perkembangan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Langkah paling kritikal dalam menguruskan COPD ialah berhenti merokok. Berhenti merokok ialah langkah terbaik yang boleh dilakukan pesakit kerana ia menghalang kerosakan lebih teruk paru-paru, walaupun kerosakan yang telah berlaku tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

 

"Selain itu, pemulihan paru-paru merupakan program berasaskan bukti yang direka untuk meningkatkan kecergasan fizikal, mengurangkan gejala dan meningkatkan kualiti hidup untuk pesakit COPD, yang biasanya mengambil masa selama enam hingga 12 minggu termasuk senaman, pendidikan dan sokongan untuk membantu pesakit menguruskan gejala mereka," jelasnya.

 

Beliau berkata turut tersedia rawatan farmakologi seperti alat sedut (inhaler) yang membantu membuka saluran pernafasan dan mengurangkan keradangan paru-paru, selain rawatan baharu untuk kes lanjut yang mengurangkan volum paru-paru bronkoskopik dengan injap endobronkial (EBV).

 

"Prosedur invasif minimum ini melibatkan meletakkan injap sehala pada bahagian paru-paru yang berpenyakit, membolehkan udara yang terperangkap keluar dan tisu paru-paru yang sihat berfungsi dengan lebih baik, yang secara signifikan meningkatkan pernafasan dan kualiti hidup bagi pesakit yang sesuai," katanya.

 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan