EKONOMI

SEKTOR TEKNOLOGI MALAYSIA DIPERKASAKAN OLEH PELABURAN LUAR BIASA PADA 2024

12/12/2024 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatatkan perubahan besar dalam landskap teknologi pada tahun ini berdasarkan pelaburan yang luar biasa, inisiatif berwawasan dan dasar pemikiran ke hadapan yang membentuk semula ekosistem digital dan teknologi negara.

Malaysia telah menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital, menarik perhatian global dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap potensinya.

Pada tahun ini, syarikat gergasi teknologi global termasuk Amazon Web Services (AWS), Google dan Microsoft komited untuk meningkatkan pelaburan kepada jumlah yang mencecah US$16.9 bilion (RM74.80 bilion), sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pertumbuhan berasaskan teknologi.


Pelaburan Luar Biasa dalam Ekosistem Teknologi Malaysia 


AWS telah mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak US$6.2 bilion (RM29.2 bilion) untuk mewujudkan AWS Asia Pacific (Malaysia) Region sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya sehingga 2038. 

Pelaburan ini dijangka menyumbang US$12.1 bilion (RM57.3 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2038 dan mewujudkan 3,500 pekerjaan sepenuh masa setahun. 

Selain itu, beberapa pelaburan lain yang diumumkan sejak Disember 2023 oleh peneraju teknologi global seperti Nvidia, Google, Microsoft, Infineon dan banyak lagi. 

Microsoft mengumumkan pelaburan sebanyak US$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam segmen infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) negara dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satya Nadella berkata Malaysia adalah pasaran yang berkembang pesat di GitHub, platform pembangunan perisian, kerjasama dan inovasi milik Microsoft dengan hampir 680,000 pembangun perisian negara menggunakan GitHub pada 2023, dengan pertumbuhan 28 peratus tahun ke tahun.

Empat minggu selepas Microsoft mengumumkan pelaburannya di Malaysia, syarikat gergasi teknologi Google akan melabur US$2 bilion (RM9.4 bilion), merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi Al untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Pelaburannya dijangka menyokong lebih US$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dalam impak ekonomi yang positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030 dengan pusat data itu akan memperkasakan perkhidmatan digital popularnya seperti Search, Maps dan Workspace, yang digunakan setiap hari oleh berbilion individu dan organisasi di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Selain itu, Enovix Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang merasmikan kemudahan pembuatan bateri berkapasiti tinggi pertamanya (Fab2) di Malaysia pada 8 Ogos, merancang untuk melabur US$1.2 bilion (RM5.8 bilion) di negara ini dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Secara keseluruhannya, cadangan pelaburan daripada syarikat teknologi AS, termasuk Google, AWS, Microsoft dan Enovix Corp, berjumlah US$14.7 bilion (RM63.02 bilion). 

Pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC di Peru baru-baru ini, Google dan Microsoft

memuji pendekatan Malaysia dalam membangunkan infrastruktur dan pelan hala tuju AI negara.

Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google Karan Bhatia berkata pendekatan strategik Malaysia terhadap infrastruktur AI menjadi faktor utama di sebalik keputusan Google untuk melabur dalam pusat data di negara ini.

Begitu juga, Naib Presiden Data dan AI Microsoft Zia Mansoor memuji kemajuan Malaysia, terutamanya dalam mewujudkan pelan hala tuju kecerdasan buatan negara.


Pelaburan Digital Atasi Pencapaian Sebelumnya


Ekonomi digital Malaysia dijangka mencecah US$31 bilion (RM138.4 bilion) dalam nilai barangan kasar pada 2024, meningkat 16 peratus daripada 2023. 

Pada separuh pertama 2024, inisiatif Malaysia Digital, yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan.

Pelaburan digital yang diluluskan mencecah RM66.22 bilion, mengatasi jumlah yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023, mewujudkan 25,498 pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjana RM1.94 bilion dalam peluang eksport, mewakili peningkatan 43 peratus daripada tahun sebelumnya. 

Bagi eksport digital, setakat Jun 2024, kerjasama dan program padanan perniagaan MDEC telah meraih peluang eksport bernilai lebih RM1.94 bilion, melibatkan 228 syarikat di 11 negara. 

Ini merupakan peningkatan lebih 43 peratus daripada nilai peluang eksport pada separuh pertama 2023 (RM1.35 bilion).


Pembangunan Rangka Kerja Utama  


Pada 2 Januari, kerajaan melancarkan Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) sebagai sebahagian daripada usaha ke arah “GOVTECH” melalui penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, menyeluruh dan "hampir pada masa nyata", membolehkan penghasilan analisis data yang lebih tepat.

Sementara itu, pada 28 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan untuk merealisasikan aspirasi negara menjadi pemain utama global dalam teknologi yang dipacu oleh industri semikonduktor.

Di bawah strategi itu, Malaysia menyasarkan untuk menarik pelaburan sekurang-kurangnya RM500 bilion dalam fasa pertama pelan tersebut.

Selain itu, Dasar Awan Negara dijangka memacu pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan mengukuhkan kepercayaan pengguna serta keselamatan data dan pemerkasaan rakyat melalui keterangkuman digital.

Kerajaan turut menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab AI generatif terkemuka.  

Oleh itu, AI dan pelaburan daripada rakan teknologi penting dalam membina infrastruktur digital yang kukuh dan selamat.

Melangkah ke hadapan, kerajaan MADANI telah mencadangkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan serta pembiayaan penyelidikan dan pembangunan yang meningkat kepada RM600 juta di bawah Belanjawan 2025. 

Selain itu, RM50 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan pendidikan berkaitan AI di universiti penyelidikan manakala RM20 juta akan disalurkan ke Universiti Teknologi Mara untuk melatih lebih ramai jurutera elektrik dan elektronik.  

Inisiatif ini menggariskan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan penyertaan dalam sektor pertumbuhan penting seperti sektor semikonduktor.

Dalam Malaysia terus menarik pelaburan, Kementerian Digital yakin bahawa ekonomi digital akan mencapai, malah melepasi sasarannya untuk menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia pada akhir 2025. 

-- BERNAMA


© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan