IPOH, 12 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan memacu inovasi, pembangunan bakat dan penyelesaian tenaga lestari.
UTP dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu menandakan pencapaian penting yang menunjukkan komitmen bersama kedua-dua organisasi terhadap penyelidikan, kecemerlangan akademik dan kolaborasi industri.
MoU itu dimeterai oleh Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Pengerusi Eksekutif Edra, Jiang Xin.
"Kerjasama ini selari dengan visi bersama untuk membangunkan pemimpin tenaga masa depan dan mendorong penyelesaian inovatif untuk masa depan yang mampan.
"Dengan menggabungkan kekuatan penyelidikan dan akademik UTP dengan kepakaran Edra, kami akan memperkasakan pelajar untuk menjadi pemimpin tenaga generasi seterusnya dan menyumbang kepada dunia yang lebih lestari, memberi manfaat kepada kedua-dua institusi dan masyarakat umum," kata Mohamed Ibrahim.
Kenyataan itu turut memberitahu sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Edra akan melancarkan Edra Power Holdings Young Talent Programme yang dimudah cara oleh Yayasan UTP pada 2025 untuk mempertingkatkan pembangunan modal insan.
"Program ini akan menyediakan biasiswa dan latihan amali kepada pelajar UTP, menawarkan peluang berharga untuk pengalaman praktikal sambil menyumbang kepada matlamat tenaga lestari Edra," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif berkenaan, Jiang Xin berkata ia merupakan langkah penting dalam memperkukuh landskap pendidikan tinggi dan kebolehpasaran di Malaysia, sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025.
"Melalui persekitaran kerja sebenar di loji jana kuasa Edra, pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan akademik mereka, mendapat pengalaman langsung dengan teknologi canggih dan membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk kerjaya yang lebih cerah," katanya.
Selain itu, menerusi Young Talent Programme, pelajar UTP akan menjalani latihan amali dan meneroka peluang kerjaya di Edra.
UTP turut berkolaborasi dengan Edra dalam ceramah teknikal dan menawarkan petugas Edra peluang melanjutkan pengajian dalam program akademik UTP, sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan bakat Edra.
Kedua-dua organisasi juga akan meneroka peluang untuk projek penyelidikan bersama dan inisiatif inovasi untuk menangani cabaran global dalam sektor tenaga, menumpukan kepada bidang, seperti tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan teknologi digital.
-- BERNAMA