AM

TH DAN MAB PERKUKUH KERJASAMA PENGURUSAN BENCANA UDARA SEMASA MUSIM HAJI

10/12/2024 12:51 PM


From Thivyamalini Ramalu

SEPANG, 10 Dis (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama dalam pelan pengurusan bencana udara semasa musim haji terutamanya untuk operasi haji 2025 dan seterusnya. 

MoU itu antara lain bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan kedua-dua pihak dalam menangani sebarang bentuk bencana khususnya melibatkan penerbangan jemaah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata pelan pengurusan bencana sebelum ini menggariskan prosedur menangani bencana semasa operasi haji namun tidak secara rasmi. 

“Syarikat penerbangan sebenarnya memang ada pelan urusan bencana yang lengkap untuk operasi penerbangan komersial namun sebelum ini ia tidak khusus untuk operasi haji. (Jadi) TH dan MAB bertanggungjawab memastikan keselamatan jemaah haji terpelihara dan juga kebajikan mereka terurus sepanjang perjalanan operasi haji khususnya untuk operasi haji tahun 2025 dan seterusnya. 

“Dengan pengalaman dan kepakaran yang sedia ada antara TH dan juga MAB, kita gabungkan kepakaran dan pengalaman yang sedia ada supaya pelan tindak balas bencana ini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan ketahanan operasi haji dalam menghadapi kemungkinan bencana udara,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Memorandum ditandatangani Syed Hamadah manakala MAB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia Aviation Group Ahmad Luqman Mohd Azmi.

Ahmad Luqman menyatakan komitmen MAB untuk memastikan segala prosedur pengurusan bencana udara diintegrasikan dengan baik dalam operasi haji dan keutamaan diberikan kepada keselamatan dan keselesaan jemaah sepanjang perjalanan termasuk semasa penerbangan dan di tanah suci.

“Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk menyediakan pelan tindak balas bencana yang lebih komprehensif, yang melibatkan penerbangan dan keadaan yang tidak dijangka termasuk semasa jemaah berada di tanah suci atau dalam perjalanan udara ke dan dari Makkah.

“Sebagai contoh, penerbangan ke Saudi terpaksa dilencongkan ke destinasi bukan haji (penerbangan kecemasan), jadi prosedur yang digariskan di bawah MoU akan memastikan keselamatan para jemaah diutamakan dan tidak ada sebarang yang tidak dijangkakan. Itu tujuannya,” katanya.

Beliau berkata sebagai persediaan, latihan melibatkan petugas TH dan MAB telah bermula dan akan terus berlangsung sehingga musim haji 2025. 

Selain latihan kecemasan, latihan juga meliputi kaunseling untuk menangani isu emosi dan psikologi yang mungkin timbul dalam kalangan jemaah haji sekiranya berlaku bencana atau krisis, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan