AM

KURIKULUM KOLEJ KETENGAH PERLU SENTIASA DITAMBAH BAIK SELARI KEPERLUAN INDUSTRI - AHMAD ZAHID

14/12/2024 12:54 PM


From Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) --  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kurikulum yang diguna pakai di Kolej Ketengah sentiasa disemak dan ditambah baik agar selari dengan keperluan industri dan ekonomi. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap mutu pengajaran dan pembelajaran di Kolej Ketengah terus ditingkatkan seiring dengan keperluan semasa.

"Dalam menghadapi cabaran global dan perkembangan teknologi, Kolej Ketengah, saya percaya telah merangka hala tuju yang jelas ke arah kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan negara," katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu menyampaikan penghargaan terhadap usaha Kolej Ketengah yang menawarkan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) serta Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerana ia bukan sahaja membuka peluang kerjaya, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Beliau berkata TVET juga berperanan besar dalam merealisasikan hasrat menuju status negara berpendapatan tinggi dan Kerajaan Perpaduan komited memperkasa TVET untuk memenuhi keperluan industri dan teknologi yang terus berkembang.

"Pesan saya, jangan pernah berhenti mencari ilmu, tidak kira sama ada anda ingin meneruskan pengajian atau melangkah ke alam pekerjaan kerana dunia kini berubah pantas dan insya-Allah dengan ilmu, kita akan sentiasa bersedia menghadapi apa jua cabaran yang mendatang," kata beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET). 

Ahmad Zahid seterusnya mengucapkan tahniah kepada 265 graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 hari ini, selain para pendidik Kolej Ketengah yang berjaya melahirkan 1,557 graduan sejak tahun 2015.

Kolej Ketengah merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang bernaung di bawah Syarikat Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) iaitu syarikat anak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan