AM

TAMBANG FERI KE LANGKAWI NAIK ANTARA RM3 HINGGA RM10.50 BERMULA 1 JAN 2025

15/12/2024 02:42 PM

ALOR SETAR, 15 Dis (Bernama) -- Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan pembatalan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis bagi warganegara Malaysia yang diumumkan sebelum ini.

Pengurus Besarnya, Kapten Dr Baharin Baharom berkata bagaimanapun kenaikan kadar tambang bagi pelancong asing akan diteruskan dan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

"Atas nasihat Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah maka
kenaikan tambang bagi warganegara Malaysia mulai 1 Januari 2025 ini dibatalkan.

"Walau bagaimanapun, kenaikan tambang bagi pelancongan asing akan berkuatkuasa
mulai 1 Januari 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Langkawi Ferry Line Ventures dalam satu kenyataan pagi tadi mengumumkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Pengurus Operasinya, Norhafiz Abdul Wahid berkata kenaikan itu adalah di antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.

Pengumuman kenaikan kadar itu seterusnya mendapat reaksi daripada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri terbabit membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini.

Loke turut memberi amaran amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

"Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan