AM

PERDANA MENTERI THAILAND TIBA DI MALAYSIA UNTUK LAWATAN RASMI DUA HARI

15/12/2024 06:58 PM

SEPANG, 15 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari, atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia sejak dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada Ogos lepas, untuk menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC), yang bertujuan mempererat hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama serantau.

Pesawat khas membawa anak perempuan bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, suaminya Pidok Sooksawas dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.20 petang.

Antara yang menyambut ketibaan Paetongtarn dan delegasi beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Bong Yik Jui.

 Sejurus tiba, Paetongtarn memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Khairul Azmi Jamingon.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Paetongtarn akan disambut oleh Anwar dalam majlis sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.

Kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor, disusuli satu sidang media bersama dan jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar.

Paetongtarn dan Anwar akan bersama-sama mempengerusikan AC berkenaan, serta satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan selepas itu.

Lawatan berkenaan susulan daripada Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara di Kuala Lumpur pada 6 Ogos lepas.

Lawatan itu juga merupakan lanjutan daripada pertemuan peringkat tinggi antara kedua-dua negara, selepas lawatan kerja Anwar dan Paetongtarn ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Ogos lepas.

Thailand kekal sebagai rakan dagang penting bagi Malaysia, berada di kedudukan keenam terbesar di dunia dan kedua terbesar dalam ASEAN pada 2023, dengan perdagangan dua hala bernilai US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

Bagi tempoh antara Januari hingga Oktober 2024, perdagangan antara kedua-dua negara mencecah US$20.75 bilion (RM95.50 bilion), melepasi US$20.69 bilion (RM94.37 bilion) yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan