JENAYAH & MAHKAMAH

376 SAMAN DIKELUARKAN, ENAM KENDERAAN DITUNDA HARI KEDUA OP BERSEPADU DI BUKIT BINTANG

15/12/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Sebanyak 376 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Bersepadu Khas Tindakan Halangan dan Op Motosikal di sekitar Bukit Bintang, di sini bermula 10 malam hingga 1 pagi tadi, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 119 saman dikeluarkan polis membabitkan kesalahan halangan dengan enam kenderaan ditunda pihak berkuasa manakala 76 lagi saman ke atas penunggang motosikal kerana tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan lain-lain.

"Dalam operasi bersepadu itu, JPJ turut mengeluarkan 60 saman manakala DBKL pula mengeluarkan 121 saman atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azry Akmar berkata operasi hari kedua itu melibatkan 12 pegawai dan 79 anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata operasi yang sama telah dilaksanakan sebelum ini di Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Ceylon, Jalan Changkat, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier dan Jalan Tengkat Tong Shin namun masih terdapat kesalahan trafik yang dilakukan pengguna jalan raya.

"Operasi bersepadu di sekitar Bukit Bintang akan diteruskan pada setiap minggu bagi memastikan pemandu dan penunggang sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan," katanya.

Azry Akmar juga meminta orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas kerana keingkaran mereka menyebabkan kesesakan teruk di kawasan Bukit Bintang terutamanya pada hujung minggu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan