POLITIK

RESOLUSI KONVENSYEN BN P. PINANG WUJUD YAYASAN ASEAN DIBAWA UNTUK PERTIMBANGAN PM - AHMAD ZAHID

15/12/2024 04:08 PM

BUTTERWORTH, 15 Dis (Bernama) -- Resolusi Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang 2024 untuk mewujudkan Yayasan ASEAN atau ASEAN Foundation akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan lanjut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN berkata yayasan itu berpotensi menjadi entiti yang membantu menangani pelbagai isu serantau seperti bencana alam dan kesihatan termasuk pemindahan organ.

Beliau berkata yayasan itu akan menguruskan hal-hal berkaitan pemindahan organ dari segi dana atau penyertaan negara ahli untuk menderma organ, bagi tujuan kepentingan bersama anggota ASEAN.

"Segala masalah yang wujud tidak semestinya diselesaikan antara kerajaan dan yayasan ini dapat mengumpulkan dana melalui sumbangan negara-negara ASEAN.

"Selain itu, dana juga boleh digunakan untuk biasiswa untuk rakyat seluruh negara ASEAN melanjutkan pelajaran dan cadangan ini bergantung kepada kelulusan negara-negara ahli yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Pulau Pinang 2024 di sini hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata yayasan berkenaan yang dicadangkan oleh BN Pulau Pinang boleh dijadikan sebagai legasi parti itu.

Terdahulu, Konvensyen BN Pulau Pinang 2024 yang dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan sebulat suara meluluskan resolusi untuk mewujudkan Yayasan ASEAN. 

Malaysia mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025 daripada Laos, bermula 1 Jan tahun depan.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan