AM

JENAYAH DALAM TALIAN, KESEDARAN ORANG RAMAI PERLU DITINGKATKAN - TEO NIE CHING

15/12/2024 05:39 PM

SIBU, 15 Dis (Bernama) -- Ketika kerajaan berusaha mendapatkan kelulusan Dewan Negara terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024, rakyat juga perlu diingatkan bahawa mereka turut memainkan peranan dalam melindungi diri daripada jenayah dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ini boleh dilakukan dengan meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam talian yang menyaksikan peningkatan mendadak sejak 2022.

"Tahun ini sahaja setakat Oktober lepas, Malaysia telah merekodkan kerugian berjumlah RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian dengan kebanyakan hantaran mengandungi elemen penipuan itu dikesan di Facebook," katanya kepada pemberita selepas wawancara khas radio bersama RTM Sibu.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan 242 hantaran sedemikian  di media sosial pada 2022, meningkat kepada 6,297 hantaran pada tahun lepas, dan 56,294 hantaran tahun ini. 

“Orang ramai perlu meningkatkan kesedaran mereka bagi melindungi dari dan mengelakkan daripada mudah menjadi mangsa penipuan dalam talian," katanya sambil mengingatkan mereka agar tidak klik sebarang hantaran jika tidak pasti kesahihannya. 

RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 yang bakal menawarkan reformasi kawal selia menyeluruh dan memberi jaminan keselamatan kepada pengguna Internet di negara ini diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 Dis lepas, manakala RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 yang mewajibkan penyedia platform media sosial mematuhi jaminan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak bawah usia 13 tahun dan menyekat akses kepada kandungan berbahaya, diluluskan dua hari lepas 

Teo menegaskan bahawa usaha menentang jenayah dalam talian adalah usaha bersama antara kerajaan, penyedia platform dan orang ramai.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa jenayah dalam talian tidak terhad kepada penipuan semata-mata tetapi termasuk buli siber, eksploitasi seksual dan lainnya.

 “MCMC akan bekerjasama rapat dengan penyedia platform media sosial di negara ini untuk memastikan kandungan yang dimuat naik di platform mereka selamat, sahih dan bebas daripada elemen penipuan dan lucah," katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian melalui agensinya akan terus menjalankan program kesedaran awam mengenai keselamatan dalam talian seperti Klik Dengan Bijak oleh MCMC.

Teo berkata program kesedaran itu juga akan menyentuh tentang kecerdasan buatan (AI) terutamanya risiko yang dibawa oleh teknologi baharu untuk mencipta kandungan "deep fake" yang boleh memperdaya orang ramai.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan