DUNIA

DASAR PANDANG KE TIMUR DAN ALUMNI PERKUKUH PERKONGSIAN STRATEGIK MALAYSIA-KOREA SELATAN – DUTA

15/12/2024 05:54 PM

 

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Korea Selatan dan Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam mempererat hubungan, dengan Dasar Pandang ke Timur (LEP) menjadi pemangkin kepada peningkatan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik, kata Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae.

Bercakap pada Majlis Makan Malam Alumni LEP baru-baru ini, Yeo menegaskan peranan LEP dalam menyumbang kepada pembangunan bersama selama lebih empat dekad.

“Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Korea Selatan bulan lepas, ia menyentuh hati apabila beliau mengiktiraf sumbangan LEP terhadap pembangunan ekonomi kedua-dua negara.

Pencapaian paling signifikan adalah peningkatan hubungan kita ke tahap Perkongsian Strategik. Kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam industri pertahanan dan menyasarkan memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) menjelang 2025.

Kemajuan ini membuktikan kejayaan LEP sepanjang 40 tahun lepas, dan anda semua adalah sebahagian penting dalam perjalanan ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada majlis makan malam itu, baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan lawatan Anwar ke Korea Selatan dari 24 hingga 26 Nov lepas adalah yang pertama sejak beliau menyandang jawatan perdana menteri pada November 2022, selain menjadi lawatan rasmi pertama oleh seorang perdana menteri Malaysia ke Korea Selatan dalam tempoh lima tahun.

Perkongsian Strategik itu menyediakan asas untuk kerjasama dalam teknologi baharu, khususnya dalam sektor tenaga hijau seperti hidrogen, biotenaga, dan industri digital, katanya.

Majlis makan malam itu, yang dihadiri kira-kira 200 alumni daripada pelbagai program latihan dan biasiswa Korea Selatan, meraikan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Para alumni termasuk peserta Program Pembangunan Eksekutif (EDP-COTI), Biasiswa Global Korea (GKS) dan Program Pertukaran Guru Korea-Malaysia (KOMTEP).

Yeo turut menghargai peranan penting alumni dalam merapatkan hubungan kedua-dua negara, memuji sumbangan mereka dalam pelbagai bidang, dan menyampaikan ucapan terima kasih yang mendalam.

Ketika Malaysia dan Korea Selatan menghampiri ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik tahun depan, Yeo mengumumkan rancangan untuk pertukaran dan acara penting.

“Tahun depan akan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik kita. Saya memohon agar anda terus memberikan minat dan sokongan terhadap acara bermakna yang dirancang sepanjang tahun,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan