KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Tiga pencipta kandungan Malaysia iaitu Yu Wei (@yweii_9), Peh Qin Rou (@joppc1231) dan Adelyn Heng (@adelynheng9319) akan berentap dengan bakat lain dari lebih 90 negara dalam Kejohanan Global LIVE Fest.
TikTok dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketiga-tiga pencipta kandungan, yang dipilih melalui proses penyingkiran dalam TikTok LIVE Fest, adalah menyerlah dari segi kreativiti, hubungan dengan peminat dan kepakaran mengendalikan sesi siaran langsung.
Kenyataan itu juga menyebut Kejohanan Global LIVE Fest akan bermula pada 17 Dis dan acara kemuncak akan berlangsung di London pada 16 Jan tahun depan.
“Perjalanan mereka diteruskan dan masing-masing kini giat melakukan persiapan bagi menonjolkan kreativiti di pentas global dengan membawa keunikan bakat sebagai rakyta Malaysia ke pertandingan itu. Ikuti @tiktoklive_my untuk perkembangan terkini dan kandungan di sebalik tabir daripada para pencipta kandungan kita semasa mereka bersiap sedia untuk bertanding di pentas global,” katanya.
Menurut kenyataan itu, TikTok LIVE Fest EST telah dikonsepkan bagi menggalakkan lebih ramai pencipta kandungan melakukan LIVE di TikTok selain turut menyediakan peluang lebih besar untuk menjana pendapatan hasil daripada kandungan mereka. Inisiatif itu juga menampilkan kepelbagaian pencipta dan kandungan yang tersedia di platform tersebut.
“Kami juga berhasrat menggalakkan penglibatan dan menyerlahkan nilai pemberian hadian dalam penstriman LIVE, memotivasi lebih ramai pengguna untuk memberi sokongan serta menghargai pencipta kandungan kegemaran mereka dengan menggunakan ciri pemberian hadiah,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa ketiga-tiga wakil Malaysia memiliki kisah unik tersendiri sebelum dipilih sebagai pencipta kandungan yang berada di tangga teratas pada tahun ini mengikut wilayah di TikTok LIVE seperti Yu Wei yang sebenarnya takut berada di depan kamera namun melalui TikTok LIVE dan sokongan rakan-rakan, beliau nekad mengumpul keberanian untuk menekan butang "Go Live".
“Mendapat ilham daripada ramai individu yang beralih kepada TikTok untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka, Yu Wei berasa lebih selesa dan mudah apabila menjalinkan kerjasama dengan W Talent Agency di TikTok yang akhirnya menyaksikna beliau dinobatkan sebagai juara TikTok LIVE Fest Malaysia,” katanya.
Qin Rou pula mengubah cabaran yang terpaksa diharungi kepada kejayaan selepas menyertai W Talent Agency di TikTok dan menjumpai penstriman langsung sebagai platform baharu untuk beliau berkongsi minatnya dalam bidang nyanyian.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Adelyn telah beralih daripada bidang perbankan kepada penstriman langsung dan mengambil inisiatif untuk menceriakan penontonnya dengan membina 'Keluarga Peach' iaitu komuniti sokongan yang telah berkongsi perjalanan hidupnya yang luar biasa menerusi TikTok LIVE.
“Perjalanan hidup saya bukan semata-mata demi trofi tetapi berkisar tentang Keluarga Peach saya yang telah berkongsi kasih sayang serta kekuatan dengan saya. Daripada permulaan yang sederhana hinggalah kepada pencapaian luar biasa, ini adalah cerita yang berkisarkan minat, ketabahan dan semangat tidak mudah mengalah, bersama-sama, kita mampu terbang ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA