AM

BEKAS WARTAWAN TV3 BASRI MOHAMAD DINOBATKAN SEBAGAI TOKOH WARTAWAN KJA

15/12/2024 06:20 PM


From Zaphne Philip

KUCHING, 15 Dis (Bernama) -- Bekas wartawan TV3, Basri Mohamad, 82, dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan pada majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Beliau yang merupakan wartawan video pertama stesen televisyen swasta itu menabur bakti dalam dunia penyiaran selama 20 tahun dan dilantik sebagai wakil TV3 di Sarawak dari 1989 hingga 2009.

Pada ketika itu, liputan berita yang memaparkan maklumat seperti keunikan, kekayaan budaya dan tradisi di Bumi Kenyalang disifatkan sebagai ejen penghubung informasi antara Sarawak dengan Semenanjung.

Selain itu, laporan dari Sarawak sentiasa berita pertama dalam Buletin Utama antaranya tragedi tanah runtuh di rumah panjang Ruan Changkul di Simunjan pada 2002 yang mengorbankan 16 nyawa.

Basri berkata beliau bekerja dengan sepenuh jiwa dan raga tanpa berkira kerana baginya apa yang dilakukan merupakan satu perjuangan yang memerlukan pengorbanan.

"Manfaat daripada sumbangan titik peluh kita ini adalah sesuatu ygang amat mulia kerana ia bukan untuk diri sendiri tetapi untuk seluruh masyarakat, bangsa, agama dan negara," katanya selepas menerima penganugerahan itu yang disampaikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

KJA 2024 dianjurkan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) bertujuan mengiktiraf, meraikan kerja cemerlang dan dedikasi petugas media Sarawak, selain memberikan inspirasi kepada mereka untuk meneruskan usaha mencari kebenaran dan keadilan serta mengamalkan akauntabiliti dalam pelaporan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan