AM

TIGA DEKAD TERAJUI PENDIDIKAN TINGGI SABAH, UMS KOMITED TERUS PACU KECEMERLANGAN

16/12/2024 12:18 PM


From Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Dalam tempoh tiga dekad menerajui persada pendidikan tinggi Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) memainkan peranan signifikan memastikan anak watan negeri ini terutama dari luar bandar dan golongan B40 tidak ketinggalan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
    Ditubuhkan pada 24 Nov 1994, UMS berjaya melakar pelbagai pencapaian luar biasa termasuk menerbitkan ratusan jurnal berimpak tinggi serta menghasilkan inovasi dan penyelidikan termasuk ada antaranya dijadikan sebagai polisi kerajaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan Malaysia khususnya Sabah.
    Naib Canselornya Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata daripada hanya 205 ambilan pelajar dari seluruh Malaysia pada 1995, kini ambilan pelajar UMS mencecah hampir 5,000, meliputi 13 fakulti, malah universiti itu turut bercadang menawarkan dua jurusan baharu iaitu seni bina dan undang-undang.
    Kasim yang telah menabur bakti di UMS selama hampir 25 tahun dan menggalas peranan sebagai Naib Canselor universiti itu sejak 2022 menzahirkan perasaan syukur kerana UMS telah melahirkan lebih 91,000 graduan dalam pelbagai bidang dengan 60 peratus daripadanya merupakan anak Sabah.
    “Kita bersyukur kerana kewujudan (UMS yang merupakan) universiti awam kesembilan memberi satu rahmat kepada Sabah, anak-anak Sabah. Kita dapat memberikan pendidikan terbaik khususnya kepada anak-anak daripada golongan B40,” katanya kepada Bernama.

Sebelum kewujudan UMS 30 tahun lepas, Kasim berkata belia Sabah khususnya dari luar bandar terpaksa merantau ke Semenanjung bagi melanjutkan pengajian tinggi di universiti awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
    Namun katanya ramai dalam kalangan mereka yang layak melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti terpaksa memilih untuk tidak berbuat demikian disebabkan faktor kemiskinan serta kekangan kewangan.
    “Jangan bilang (pergi) ke Kuala Lumpur, ada sebahagian anak-anak yang tinggal di luar bandar Sabah, Kota Kinabalu pun belum pernah jejak kaki (ketika itu), apa lagi nak terbang ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor.
    “Alhamdulillah, pada tahun 1994, apabila pecah tanah di kawasan kampus utama ini (dilaksanakan dan kemudian) pada tahun 1995, universiti ini beroperasi maka bermulalah sejarah era baharu bagaimana UMS menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.
    Selain melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kompeten, berkaliber serta pakar dalam pelbagai bidang diperlukan pasaran pekerjaan sama ada sektor awam atau swasta, Kasim berkata ramai antara graduan UMS juga telah menjadi usahawan berjaya.

Untuk rekod, kadar kebolehpasaran graduan di UMS meningkat daripada 54.7 peratus pada 2014 kepada 98.5 peratus pada 2023.
    Sepanjang tiga dekad sebagai gedung ilmu, Kasim berkata UMS turut memainkan peranan sebagai "pemikir" pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi di Sabah menerusi usaha memperkasakan komuniti luar bandar dengan melaksanakan pelbagai program pemindahan ilmu pengetahuan.
    Ini termasuk membantu komuniti luar bandar dalam bidang keusahawanan serta meluaskan lagi rangkaian pemasaran setiap produk diusahakan sama ada makanan mahupun sektor pelancongan, katanya.
    Beliau berkata kajian pembasmian kemiskinan di Sabah juga dilakukan antara lain melibatkan kajian pola pemikiran masyarakat, penyebab kemiskinan dan usaha meningkatkan sosioekonomi rakyat, dengan segala kajian itu disyorkan kepada agensi pelaksana agar ia mampu membuahkan hasil dalam misi menghapuskan kemiskinan.
    Tidak hanya itu, katanya, mahasiswa dan mahasiswi UMS turut didedahkan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dilihat mampu membuka minda sekali gus menyuntik semangat anak-anak luar bandar Sabah tentang pentingnya pendidikan sebagai medium mampan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Mengulas pencapaian UMS sepanjang 30 tahun, Kasim berkata universiti itu melakar banyak pencapaian dan kejayaan termasuk hasil penyelidikan ahli akademiknya didaftarkan bagi perlindungan harta intelek, selain terdapat penyelidikan serta jurnal berkualiti meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
    Mengambil contoh program pertanian dan perhutanan, beliau berkata kedua-dua program itu tersenarai sebagai antara 200 terbaik dunia di samping penglibatan pelajar-pelajar universiti itu mewakili Malaysia yang seterusnya mengharumkan nama UMS di persada antarabangsa.
    Sementara itu, Kasim berkata aspek inovasi seharusnya diterapkan sebagai satu matlamat dan elemen penting oleh semua ahli akademik UMS bukan hanya dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga untuk menghasilkan produk penyelidikan.
    Menurutnya, makmal kajian UMS bukan hanya di kampus tetapi juga di seluruh lautan dan daratan Sabah kerana biodiversiti negeri ini adalah antara yang terbaik di dunia, justeru, penyelidikan dan inovasi harus dilaksanakan agar hasilnya kelak dapat dikomersialkan demi pembangunan rakyat dan Sabah.
    “Dalam tempoh 30 tahun ini, banyak inovasi yang telah dicipta dan disyorkan. Insya-Allah, pada masa depan, ada beberapa lagi usaha kita untuk menterjemahkan inovasi yang ada,” katanya sambil menyatakan harapan bahawa setiap kajian dan inovasi dihasilkan tidak berakhir sebagai 'bahan pameran' di perpustakaan semata-mata.

Mengenai Majlis Konvokesyen UMS ke-26 baru-baru ini, Kasim berkata sejarah baharu UMS tercipta apabila seramai 119 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah iaitu jumlah paling ramai pernah direkodkan sepanjang tiga dekad.
    Turut menjadi kebanggaan adalah apabila majlis konvokesyen itu menampilkan seramai 426 graduan mendapat kelas pertama, selain 90 graduan menamatkan pengajian dalam bidang doktor perubatan.
    “Tahun depan Hospital UMS akan siap. Ini juga merupakan satu kelebihan pada universiti. Saya juga telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya ambilan untuk program kemasukan pelajar ke Fakulti Perubatan (UMS) akan ditambah daripada 90 sahaja maksimum ketika ini kepada 150 orang.
    “Ini bagi memenuhi keperluan doktor perubatan hospital-hospital kerajaan di Sabah yang kita tahu Sabah masih kekurangan tenaga doktor perubatan. Insya-Allah, UMS dengan adanya hospital universiti ini, kita cuba untuk menangani masalah kekurangan doktor perubatan,” katanya.
    Beliau turut berharap UMS dapat memperkenalkan beberapa program baharu yang diperlukan industri ke arah melahirkan lebih ramai graduan bertepatan dengan kehendak pasaran pekerjaan pada masa akan datang termasuk dalam bidang seni bina dan undang-undang.
    Buat masa ini, menurut Kasim pihaknya menjalin kerjasama pintar dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk membawa jurusan seni bina ke UMS dengan ambilan pertama dijangka pada September tahun depan.
    Kasim turut berharap agar lebih ramai pelajar antarabangsa menjadikan UMS sebagai pilihan pusat pengajian tinggi mereka.
    UMS kini mempunyai hampir 18,000 pelajar termasuk 648 pelajar luar negara.
    -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan