AM

TH TANGGUNG RM261 JUTA BANTUAN BERSASAR JEMAAH MUSIM HAJI 1446H/2025M

16/12/2024 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Bantuan Kewangan Haji kepada bakal jemaah haji muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat itu pada musim 1446H/2025M yang bakal ditanggung Lembaga Tabung Haji (TH) dianggarkan  berjumlah RM261 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata bakal jemaah haji muassasah dalam kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.

“Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.

“Bakal haji muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji. Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Syed Hamadah berkata bagi jemaah muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan pula perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang. 

Syed Hamadah berkata prinsip Bantuan Kewangan Haji bersasar adalah selaras dengan polisi TH untuk mengurangkan Bantuan Kewangan Haji yang dibiayai daripada keuntungan pelaburan secara beransur-ansur sejak 2022 demi kemampanan kewangan TH.

“Penurunan Bantuan Kewangan Haji juga adalah adil bagi memastikan kelestarian kewangan TH dan mengurangkan kesan Bantuan Kewangan Haji terhadap pulangan pelaburan kepada pendeposit. Memastikan kadar pulangan yang baik dan mampan juga satu daripada tanggungjawab penting TH,” katanya.

Selain itu Syed Hamadah berkata TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M, dengan kos haji kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah. 

Beliau berkata bagi mengawal kos haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.

“Harga penginapan di Tanah Suci juga telah meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Makkah dan Madinah, namun TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi 1446H/2025M akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini dan bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan