EKONOMI

KUSKOP LULUS PEMBIAYAAN RM204.5 JUTA UNTUK USAHAWAN INDIA SEHINGGA NOVEMBER 2024

16/12/2024 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Tekun Nasional meluluskan pembiayaan berjumlah RM204.5 juta kepada 9,412 usahawan menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bagi tempoh 2019 hingga November 2024.  

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R Ramanan berkata daripada jumlah itu, seramai 1,877 usahawan atau 20 peratus telah disenaraikan kepada agensi pelaporan kredit akibat kegagalan membayar semula pembiayaan kepada Tekun Nasional.

Beliau berkata bagi menangani isu pembayaran semula pembiayaan, Tekun Nasional telah mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta menjalankan pemantauan berkala terhadap usahawan terlibat. 

"Langkah seterusnya adalah memperkukuh urusan perhubungan dalam proses pemungutan hutang melalui penghantaran peringatan automatik iaitu melalui aplikasi mudah alih seperti khidmat pesanan ringkas atau emel yang memudahkan usahawan menguruskan jadual pembayaran mereka. 

"Akhir sekali adalah menawarkan opsyen penstrukturan iaitu penjadualan semula kepada usahawan yang menghadapi kesukaran kewangan merangkumi pelan pembayaran lebih fleksibel seperti pelanjutan tempoh pembayaran atau pengurangan pembayaran bulanan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Sivaraj Chandran berhubung peratusan peminjam yang disenarai hitam akibat gagal membayar pinjaman SPUMI serta langkah-langkah menangani isu pembayaran balik.

Dalam pada itu, Ramanan berkata kementerian juga mengambil pendekatan memberikan pinjaman tambahan sekiranya peminjam membuat bayaran secara berterusan bagi enam bulan tanpa gagal bagi memastikan perniagaan mereka pulih.

"Kami juga menawarkan pilihan kepada mereka untuk penstrukturan semula. Seperti yang saya katakan tadi, bayaran serendah RM30 sebulan sahaja.

"Tetapi untuk memberikan hapus kira pinjaman tersebut, kami tidak boleh berbuat demikian kerana untuk peminjam yang akan datang, mereka pula tidak akan dapat peluang untuk mengembangkan perniagaan," katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan