KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun depan, bersama negara-negara anggota akan meneliti keberkesanan Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam menangani krisis kemanusiaan di Myanmar, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata usaha ini bertujuan memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan dan mengatasi kegagalan sebelum ini.
“Myanmar mempunyai roadmap mereka, kita juga ingin mendengar roadmap mereka dan jika ada kesamaan, mengapa tidak kita selaraskan dengan pandangan kita? Namun, seperti yang berlaku sekarang, mandat pemimpin-pemimpin ASEAN adalah Konsensus Lima Perkara.
“Oleh itu, kita tidak mahu ada negara atau pihak tertentu cuba melakukan perkara selain daripada Konsensus Lima Perkara dengan menggunakan mekanisme lain. Jadi, kami akan cuba sebaik mungkin terlebih dahulu dan melihat bagaimana Konsensus Lima Perkara ini boleh diaplikasikan terhadap Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pertemuan media sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini malam tadi.
Turut hadir pada sesi pertemuan media itu ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia Datuk Zanariah Zainal Abidin.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj serta wakil organisasi media.
Sementara itu, Mohamad berkata ASEAN perlu bersatu dalam menangani isu keselamatan yang berbangkit dalam rantau ini, termasuk isu kemanusiaan di Myanmar dan isu Laut China Selatan.
Beliau berkata ASEAN perlu kembali kepada matlamat asal penubuhannya untuk memupuk keamanan, kestabilan, dan kerjasama serantau, serta untuk mencapai ekonomi yang berdaya tahan dan berada di landasan yang tepat untuk menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
"Isu Myanmar kita perlu menyuarakannya melalui mekanisme ASEAN, begitu juga dengan Laut China Selatan, di mana kita perlu menggunakan mekanisme ASEAN untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan negara-negara anggota," katanya.
"Jadi ini yang sedang kita lakukan, dan Malaysia sebagai pengerusi ingin menekankan perkara ini. Itu sebabnya ASEAN ditubuhkan dahulu untuk kita bersuara sebagai satu suara, satu blok, satu rantau yang berkecuali, aman, dan bebas supaya kita tidak dipecah-pecahkan," katanya, menambah bahawa perkara ini turut diterjemahkan dalam tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu 'Keterangkuman dan Kemampanan'.
Selain itu, Mohamad berkata terdapat cadangan untuk menganjurkan persidangan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) segera supaya blok tersebut tidak dilihat condong kepada mana-mana pihak dalam usaha mengimbangi ASEAN.
Malaysia sekali lagi akan mengambil alih tampuk kepengerusian ASEAN bermula tahun depan. Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali, iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan kali terakhir pada 2015.
-- BERNAMA