EKONOMI

SCIENTEX CATAT UNTUNG BERSIH LEBIH RENDAH KEPADA RM128.61 JUTA PADA SUKU PERTAMA 2025

18/12/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Scientex Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu sebanyak RM128.61 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025  berbanding RM137.84 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Perolehan syarikat meningkat sedikit kepada RM1.109 bilion berbanding RM1.107 bilion dengan bahagian hartanah sebagai pemacu prestasi utama.

Perolehan bagil segmen tersebut meningkat sebanyak enam peratus kepada RM483.7 juta berbanding RM456.1 juta sebelumnya, dipacu oleh kemajuan pembinaan yang stabil di kawasan Utara, Tengah, Melaka dan Johor selain kadar penghunian yang kukuh bagi projek-projek yang sedang berjalan.

Pengeluar pembungkusan dan pemaju hartanah itu berkata dalam satu kenyataan hari ini, bahagian pembungkusan mencatatkan perolehan sebanyak RM625.7 juta, penurunan sebanyak 3.8 peratus berbanding RM650.4 juta sebelumnya.

Katanya, penurunan ini terutamanya disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah dari pasaran eksport selain pergerakan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Peng Jin menyatakan keyakinan bagi tahun kewangan 2025.

"Kami melihat peluang jangka panjang dalam industri pembungkusan yang fleksibel, disokong oleh kapasiti sedia ada dan keupayaan kami untuk berinovasi selain membangunkan penyelesaian pembungkusan bernilai tambah yang disesuaikan.

"Walaupun pasaran pembungkusan global kekal lembap akibat gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan ketegangan geopolitik, permintaan untuk pembungkusan fleksibel terus wujud, memandangkan peranannya yang penting dalam aktiviti seharian," katanya.

Bagi bahagian hartanah, Scientex menyasarkan pelancaran sebanyak 8,000 rumah mampu milik setiap tahun bermula tahun kewangan 2025, berkembang daripada 6,300 unit pada tahun kewangan 2024.

Hal ini seiring dengan matlamat kumpulan untuk menyiapkan 50,000 rumah mampu milik menjelang 2028, dengan hampir 38,000 rumah telah siap setakat ini.

Pemegang saham Scientex juga meluluskan dividen akhir sebanyak enam sen sesaham untuk tahun kewangan 2024 yang akan dibayar pada 17 Jan, 2025.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan