AM

PERDAGANGAN DUA HALA MALAYSIA-CHINA CECAH HAMPIR US$98 BILION BAGI TEMPOH 11 BULAN PERTAMA 2024

18/12/2024 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Hubungan ekonomi Malaysia-China terus mengukuh, dengan perdagangan dua hala mencecah hampir US$98 bilion (US$1=RM4.467) dalam tempoh 11 bulan pertama 2024, menyamai keseluruhan jumlah dagangan bagi 2023.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pertumbuhan 6.9 peratus tahun ke tahun itu menyediakan peluang pertumbuhan selanjutnya bagi tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata asas bagi perkongsian 50 tahun Malaysia-China telah terbina sejak berabad-abad yang lalu, melangkaui jauh sebelum 1974 lagi.

“Pada 1971, misi perdagangan timbal balik antara Malaysia dan China membawa kepada, antara lain, eksport 40,000 tan getah Malaysia ke pasaran China.

“Pada tahun yang sama, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-China hanya berjumlah US$27.8 juta. Kami menjalinkan hubungan diplomatik dengan China tiga tahun kemudiannya,” katanya menerusi ucapan beliau pada majlis makan malam resepsi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di sini, malam ini.

Dari segi pelaburan, bagi tempoh 1980 hingga Jun 2024, sejumlah 531 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat China telah dilaksanakan, dengan pelaburan bernilai RM80 bilion (US$19.8 bilion) yang mewujudkan lebih 88,800 pekerjaan.

“Ingin saya tekankan bahawa Malaysia menganggap China sebagai rakan penting bukan sekadar dari segi hubungan dua hala semata-mataa.

“Sejak Inisiatif Jalur & Laluan (BRI) dilancarkan secara rasmi pada 2013, Malaysia merupakan antara salah satu negara yang paling awal menyokong. Semasa Ekspo Import Antarabangsa China bulan lalu, kedua-dua negara turut bertukar-tukar dokumen tambahan untuk Pelan Kerjasama BRI,” katanya.

Tengku Zafrul berkata selepas ASEAN ditubuhkan pada 1967, Malaysia secara beransur-ansur membawa China ke dalam lingkungan serantau pada awal 1990-an, yang turut menyaksikan permulaan Dialog China-ASEAN.

“Kami kemudiannya memainkan peranan penting dalam memulakan ASEAN Plus Three pada 1997 dan Sidang Kemuncak Asia Timur pada 2005.

“Satu detik penting dalam hubungan ASEAN-China adalah pemeteraian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), FTA pertama ASEAN dengan pihak luar pada 2002,” katanya.

Ini, katanya, bukan sahaja membawa kepada pengurangan tarif dan peningkatan aliran perdagangan tetapi juga membantu China secara rasmi menjadi rakan dagang terbesar ASEAN hanya dalam tempoh tujuh tahun kemudiannya, mengatasi Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah.

“Jelas sekali, kemajuan luar biasa ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia dibina berdasarkan interaksi positif antara para pemimpin sejak berabad-abad lamanya, serta komuniti perniagaan.

“Bukan niat saya untuk menelusuri sejarah terlalu mendalam. Saya hanya mahu memberikan latar belakang kepada bukan sahaja hubungan Malaysia-China tetapi juga peranan yang dimainkan Malaysia dalam memulakan dan mengukuhkan hubungan ASEAN dengan China,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan penting bagi keluarga China-ASEAN untuk hidup secara harmoni bagi membentuk peranan mereka pada masa depan dalam tatanan dunia baharu, khususnya dalam era dunia yang dikuasai beberapa negara besar tertentu.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berhasrat untuk memainkan peranannya menempa masa depan yang lebih baik bagi ASEAN dan melangkaui darinya.

“Kami bersedia untuk memperjuangkan kerjasama serantau, meningkatkan integrasi ekonomi serantau, serta memupuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif selaras dengan tema pilihan kami: Keterangkuman dan Kemampanan,” katanya.

Beliau berkata nilai MADANI iaitu Kelestarian, Belas Kasihan, Hormat, Inovasi, Kemakmuran dan Amanah, selari dengan visi Presiden Xi Jinping yang mahu membina masa depan bersama yang lebih baik untuk umat manusia, yang dibangunkan berlandaskan kerjasama dan keterangkuman.

Majlis makan malam resepsi itu yang turut diserikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, diadakan sempena Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 selama dua hari, yang bermula pada 17 Dis.

Sidang kemuncak itu dianjurkan Qube Integrated Malaysia secara kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi memperingati 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan