AM

WARGA EMAS HILANG: ANAK YAKIN BAPA MASIH ADA BERDEKATAN KEDIAMAN

19/12/2024 12:13 AM

REMBAU, 18 Dis (Bernama) -- “Kami yakin ayah ada dekat-dekat sini’ luah anak kepada warga emas Mohd Mahat Said, 78, yang dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Batu 4, Kampung Air Melintang di sini Isnin lepas.

Roslina Mohd Mahat, 39, berkata meskipun sehingga hari ini masih tiada sebarang petunjuk baharu mengenai keberadaan bapanya namun naluri kuat mengatakan warga emas istimewa itu masih berada berdekatan kawasan kediaman mereka.

Dia berkata kedua-dua kaki bapanya tidak boleh bergerak akibat kemalangan yang dialami pada 2002.

"Kalau nak bergerak abah perlu guna kerusi roda atau mengengsot. Hari ini masuk hari ketiga abah hilang, kami berharap abah segera ditemukan kerana bimbang akan keselamatannya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Roslina berkata mereka sekeluarga turut mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin selain terdapat dua kumpulan pengamal perubatan alternatif secara sukarela datang membantu untuk mengesan bapanya.

Roslina meminta orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai maklumat mengenai bapanya untuk memaklumkan kepadanya di talian 012-6035785.

Ketua Polis Daerah Rembau Supt Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal itu masih belum ditemukan setakat ini dengan kawasan pencarian diperluas membabitkan pasukan tentera 1 Briged dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Operasi pencarian masih diteruskan dengan memperluas kawasan pencarian selain ulang pencarian di tempat sama, penggunaan dron bomba juga masih tidak menemukan apa-apa petunjuk baharu. Operasi disambung esok," katanya.

Semalam, Shaik Abd Kadar berkata lelaki itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah dan disedari anak perempuannya sebelum membuat laporan kira-kira 5 petang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan