KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Tempoh reman seorang guru taska bagi membantu siasatan kes mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan disambung tiga hari lagi hingga Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata proses sambung reman dibuat berikutan tempoh reman wanita berusia 24 tahun itu tamat hari ini.
"Siasatan setakat ini mendapati suspek tidak mempunyai sijil tauliah bagi tugasnya dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dipercayai suspek mencubit pipi (bayi lelaki)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan wanita itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 6.50 petang, Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya selepas mengambil bayi itu dari sebuah taska pada 6.15 petang, Jumaat lepas.
Lelaki itu dimaklumkan oleh pengasuh taska bahawa kesan lebam itu berpunca akibat anaknya terjatuh dari meja di dalam taska.
Bapa bayi itu kemudian menerima panggilan daripada penyelia taska pada Sabtu yang memaklumkan kesan lebam berkenaan berpunca daripada perbuatan pekerjanya, sebelum membawa anaknya itu ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA