AM

SHUDOKAN TERIMA ANUGERAH NPC-MACROKIOSK MUHIBBAH

19/12/2024 11:15 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Dojo Aikido tertua di Malaysia Shudokan menerima Anugerah National Press Club (NPC)-MACROKIOSK Muhibbah bagi Disember sebagai pengiktirafan terhadap usaha memupuk perpaduan, hormat- menghormati dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Ditubuhkan pada 1961 oleh mendiang Thamby Rajah Sensei, Shudokan bukan sahaja dojo Aikido pertama di Malaysia tetapi juga yang terawal ditubuhkan di luar Jepun, negara kelahiran seni mempertahankan diri itu.

Sejak 63 tahun lepas, institusi berpangkalan di Seremban itu telah menerima belia daripada pelbagai latar belakang yang menawarkan latihan Aikido dengan bayaran yuran berpatutan. 

Prinsip yang menjadi amalan Shudokan sejajar dengan semangat muhibah melayakkan ia menerima pengiktirafan tertinggi daripada panel editor media yang menyelia pemilihan. 

Dalam satu kenyataan, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan memuji dedikasi Shudokan yang telah menyatukan rakyat Malaysia melalui seni mempertahankan diri.

"Shudokan telah menunjukkan semangat sebenar muhibah - selama 63 tahun ia telah memupuk perpaduan, saling menghormati dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia daripada semua latar belakang. 

"Dedikasi tenaga pengajarnya yang meneruskan legasi pengasasnya - dalam memupuk sahsiah, disiplin dan persahabatan melalui seni mempertahankan diri mencerminkan nilai yang menyatukan kita sebagai sebuah negara.

"Walaupun ini penyampaian terakhir dalam siri kedua anugerah muhibah kami, saya berharap inisiatif ini menjadi inpirasi kepada cetusan komitmen baharu untuk membina semula Malaysia yang mempunyai semangat muhibah sejati," kata Ahirudin.

Anugerah yang dilancarkan tahun lepas dengan kerjasama MACROKIOSK itu bertujuan memberikan penghormatan kepada individu, kumpulan atau pertubuhan yang mewujudkan semangat muhibah dalam erti kata sebenar.

Siri pertama meraikan enam pemenang manakala siri kedua pada tahun ini menampilkan empat anugerah dengan Disember adalah yang terakhir. Pemenang menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil.

Pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK Datuk Kenny Goh memuji Shudokan sebagai "lambang kecemerlangan", mengiktiraf peranannya dalam membentuk kehidupan anak muda Malaysia melalui Aikido.

"Melalui seni mempertahankan diri, Shudokan telah menyemai rasa hormat, ketabahan dan muhibah dalam kalangan generasi muda sekali gus memberikan kesan mendalam kepada belia serta menyediakan mereka untuk menjadi individu dan pemimpin masa depan yang lebih baik," katanya.

Ketua Pengajar Aikido Shudokan Malaysia Ramlan Ortega Shihan yang baru-baru ini meraikan 30 tahun penglibatannya dalam Aikido, merakamkan penghargaan atas pengiktirafan itu dan menyifatkannya sebagai pemangkin untuk terus menyatukan rakyat serta menjadikan Aikido sebagai laluan menuju keharmonian.

"Aikido mengajar disiplin fizikal dan mental. Ia membantu individu menguruskan tekanan dan konflik, menjadikannya kemahiran berharga bagi rakyat Malaysia untuk meningkatkan kesejahteraan diri dan hubungan dengan orang lain," katanya sambil menggesa rakyat menyokong warisan seni mempertahankan diri ini bagi memastikan institusi seperti Shudokan terus berkembang maju untuk generasi seterusnya.

Perjalanan Shudokan bermula pada 1950-an apabila Thamby Rajah Sensei pemegang tali pinggang hitam pertama Malaysia dalam Judo dan Aikido menubuhkan dojo. Nama "Shudokan" yang bermaksud “house of studying the way” telah diberikan oleh guru Aikido Jepun Shioda Gozo Soke yang juga pengasas gaya Yoshinkan Aikido.

Sejak dibuka, Shudokan telah melatih ribuan pelajar termasuk dari sekolah tempatan seperti SK Dato’ Klana Maamor, SJK (C) Chi Hwa, SJK (T) Jalan Lobak, dan St. Paul’s Institution. Komitmen ini mengukuhkan lagi reputasinya sebagai hab perpaduan sosial dan pembangunan sahsiah.

Hari ini, legasi itu diteruskan anak saudara Thamby Rajah iaitu Joe Thambu Shuseki Shihan, seorang ahli Aikido yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan pengalaman lebih 52 tahun.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan