KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga petugas TV Alhijrah Ainur Mahdiyah Zahra Abdullah yang meninggal dunia pada Selasa lepas.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook hari ini menzahirkan rasa dukacita dan mendoakan seluruh keluarga Allahyarham serta sahabat handai terutamanya di TV Alhijrah kekal tabah dan sabar berdepan dengan pemergian itu.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Ainur Mahdiyah Zahra, 48, meninggal dunia ketika dalam urusan kerja di Kota Kinabalu, Sabah akibat serangan jantung.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Taman Putra Perdana, Puchong petang semalam.
Allahyarham yang juga dikenali sebagai Paullina Oppei Paulus bertugas sebagai Pengurus Unit Integrasi Media, Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat di TV Alhijrah.
-- BERNAMA