AM

LAN ZAILAN MENINGGAL DUNIA AKIBAT KANSER PANKREAS

19/12/2024 09:44 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pelakon Lan Zailan meninggal dunia akibat kanser pankreas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada 4.20 pagi tadi, pada usia 66 tahun.

Berita pemergian Allahyarham, yang nama sebenarnya Zailan Kamarudin, disahkan oleh anak perempuannya Fariza Zailan, ketika dihubungi Bernama.

"Pada awalnya, ayah dimasukkan ke PPUM kerana mengalami masalah batuk sebelum didiagnosis menghidap kanser pankreas tahap empat pada 27 Nov lepas.

"Kanser itu kemudiannya merebak ke organ lain, antaranya hati dan paru-paru," katanya.

Menurut Fariza, jenazah akan dimandi dan dikafankan di PPUM sebelum dibawa ke Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk disolatkan dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Ruby Sara Omar, dan lima anak.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah berkata industri kreatif negara kehilangan seorang pelakon yang sangat berbakat.

“Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah, dan kami mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga,” katanya dalam kenyataan.

Allahyarham Lan Zailan banyak membintangi drama dan filem sejak 1980 dan telah berlakon dalam lebih 10 filem serta puluhan drama dan telefilem, antaranya Santan Berlada, Rumah Kedai, Kisah Benar, dan Gerak Khas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan