AM

ANAK RAKAN-PEMANDU GRAB ANTARA ENAM PENERIMA BIASISWA GRABSCHOLAR

19/12/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Enam pelajar termasuk anak rakan-pemandu Grab menerima biasiswa GrabScholar untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi tempatan pilihan mereka.

Inisiatif siri pertama GrabScholar yang diperkenalkan Grab Malaysia dengan kerjasama strategik Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) itu bagi membantu pelajar berpotensi tinggi, berkelayakan dan mempunyai cita-cita untuk menyumbang kepada pembangunan negara. 

Seorang daripada penerima Manreet Kaur Gill Charanjit Singh, 19, berkata walaupun ditawarkan biasiswa lain, dia memilih Grabcholar kerana kaitan rapat keluarganya dengan Grab memandangkan bapanya bekerja dan mencari rezeki di syarikat itu sejak enam tahun lepas.

Manreet yang akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi di Universiti Putra Malaysia berkata selain sokongan pengajian, GrabScholar menyediakan pelbagai elaun termasuk komputer riba, sara hidup dan elaun tiket penerbangan bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak. 

“Selain itu, kita juga berpeluang mengembangkan diri menerusi program pembangunan diri selama dua tahun dan membuat latihan industri dengan Grab. Pendekatan ini memang sangat baik kerana memberi saya pendedahan awal kepada alam pekerjaan selain peluang menganjurkan projek komuniti untuk menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sijil biasiswa GrabScholar yang disampaikan Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo bersama Ketua Pegawai Eksekutif YTAR Ida Thien, baru-baru ini.

Manreet yang berasal dari Selayang, Selangor dan bercita-cita untuk menjadi pensyarah dalam bidang ekonomi, merupakan antara penerima biasiswa GrabScholar yang terpilih daripada 4,000 permohonan yang diterima.

Bapanya, Charanjit Singh, 49, seorang rakan-pemandu Grab, turut menzahirkan rasa syukur kerana tawaran biasiswa yang diterima itu akan meringankan beban keluarga terutama dari segi kos pendidikan empat anaknya.

“Kalau ikutkan saya sudah bekerja dengan dunia pengangkutan sejak 30 tahun lepas, malah anak-anak saya membesar dengan rezeki ini. Pekerja macam saya ini kalau tidak kerja tiada duit…jika dibandingkan dahulu, sekarang sebagai rakan-pemandu Grab banyak manfaat yang kita dapat bukan sahaja kepada pekerja tetapi untuk juga keluarga seperti GrabScholar ini,” katanya.

Sementara itu, Jamie Jesseryl Maxwell James, 22, yang menerima tawaran biasiswa untuk pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media di Universiti Malaya, menyifatkan GrabScholar sebagai platform untuk pelajar memberi kembali kepada komuniti melalui program yang disediakan. 

“Bila saya tahu biasiswa ini tawarkan program komuniti, saya terus terbuka hati untuk memohon kerana saya ingin menyumbang semula kepada masyarakat.

“Lebih menarik, meskipun menerima biasiswa ini saya tidak terikat dengan syarat wajib untuk bekerja dengan Grab,” kata pemuda daripada suku kaum Bidayuh yang berasal dari Kuching, Sarawak itu. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan