AM

KUTIPAN ZAKAT DI MELAKA MENINGKAT 3.64 PERATUS TAHUN INI

19/12/2024 10:01 PM

MELAKA, 19 Dis (Bernama) -- Prestasi kutipan zakat di Melaka meliputi zakat harta dan zakat fitrah merekodkan peningkatan sebanyak 3.64 peratus kepada RM120.32 juta dalam tempoh 1 Jan hingga semalam berbanding RM116.09 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Zakat Melaka dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di sini hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak RM114.14 juta kutipan berkenaan merupakan zakat harta manakala RM6.19 juta ialah zakat fitrah.

Kenyataan itu memberitahu jumlah pembayar zakat harta menurun sebanyak 0.12 peratus kepada 48,598 orang dalam tempoh sama tahun ini berbanding 48,655 orang dalam tempoh sama pada 2023.

"Namun, jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun ini meningkat sebanyak 3.52 peratus kepada RM698,061 orang berbanding 674,334 orang tahun lepas.

"Kutipan zakat tertinggi yang direkodkan pada tahun ini ialah zakat pendapatan dengan jumlah sebanyak RM71.42 juta, diikuti zakat perniagaan (RM22.07 juta), zakat wang simpanan (RM18.31 juta), zakat emas perak (RM1.61 juta), zakat saham (RM611,917.35), zakat ternakan (RM69,758.31) dan zakat pertanian (RM49,319.96)," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Zakat Melaka menerima zakat perniagaan berjumlah RM4.85 juta daripada 16 agensi korporat yang beroperasi di negeri itu.

Dalam kenyataan sama, Zakat Melaka memaklumkan zakat perniagaan itu dilunaskan wakil agensi masing-masing terdiri daripada Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (RM1 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM1 juta), TM Technology Services Sdn Bhd (RM509,262), Fazil Agency (RM500,199), Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (RM400,000), CIMB Islamic Bank Berhad (RM240,000) dan Agrobank (RM200,000).

Agensi korporat lain yang turut melunaskan zakat perniagaan ialah Maybank Islamic Bank (RM130,566.39), Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (RM120,000), Yayasan Melaka (RM100,000), Affin Islamic Bank Berhad (RM100,000), Lembaga Perumahan Melaka (RM100,000), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (RM90,043.20), Bousted Plantation Berhad (RM82,111), Bank Simpanan Nasional (RM50,000) dan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka (RM20,000).

Penyerahan zakat perniagaan itu diserahkan wakil agensi korporat masing-masing kepada Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan