AM

628 PETANI DI PERLIS TERIMA BANTUAN BENCANA LEBIH RM200,000

19/12/2024 04:10 PM

ARAU, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Perlis memperuntukkan bantuan tunai sebanyak RM202,868 kepada 628 petani yang terjejas dalam kejadian ribut serta banjir pada September dan Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata bantuan itu diberikan mengikut keluasan tanaman yang terjejas dengan setiap seorang menerima di antara RM100 hingga RM500.

“Sebanyak 11 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terlibat, iaitu enam di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lima di kawasan MADA,” katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan bantuan bencana di sini hari ini.

Razali berkata selain padi, pengusaha tanaman lain seperti sayur-sayuran dan mangga harumanis turut menerima bantuan itu dan kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri telah membuat pembayaran menerusi akaun bank masing-masing. 

Beliau berkata banjir yang berlaku menyebabkan kerugian berjumlah RM2.91 juta, melibatkan kawasan pertanian seluas 526.47 hektar dan bantuan tunai itu diharapkan dapat meringankan beban petani terbabit.

Sementara itu, Razali berkata kejadian padi tenggelam akibat banjir penghujung bulan lepas menyebabkan pesawah kerugian besar dengan anggaran awal kawasan terjejas adalah seluas 4,333 hektar termasuk sawah di luar kawasan MADA.

“Petani terlibat diminta segera membuat aduan kepada PPK mengikut prosedur operasi sebelum tarikh akhir iaitu 20 Dis ini untuk membolehkan bantuan sewajarnya disalurkan,” katanya dan mengharapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan meluluskan peruntukan RM5 juta kepada MADA bagi melaksanakan kerja menaik taraf sistem saliran.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan