ALOR SETAR, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan peningkatan hasil padi kira-kira 46,000 tan metrik menerusi program penanaman padi lima musim dua tahun di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata menerusi program itu, purata hasil padi semasa dijangka meningkat daripada lima tan metrik per hektar dan berpotensi mencapai hingga 5.6 tan metrik per hektar apabila Fasa 1 program itu yang bernilai RM761.23 juta bermula.
"Fasa 1 ini akan melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan 15 blok sistem pengairan tersier bernilai RM526.37 juta dan projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu yang akan menelan belanja sebanyak RM234.86 juta.
"Pembangunan infrastruktur ini akan memberikan manfaat dengan pengeluaran padi dijangka meningkat daripada 775,000 tan metrik dengan nilai RM1.008 bilion kepada 821,000 tan metrik dengan nilai RM1.068 bilion iaitu peningkatan sebanyak enam peratus," katanya selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Perjanjian Konsesi Cadangan Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong program itu di Ibu Pejabat MADA di sini hari ini.
Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak yang mewakili kerajaan, Pengurus Besar MADA Kamarudin Dahuli dan Ketua Pegawai Eksekutif MMC Engeneering Asroll Mansor mewakili Syarikat MMC Infra Padi Sdn Bhd.
Mohamad berkata selain itu, purata peningkatan pendapatan kasar bagi pesawah pula dijangka meningkat 50 peratus daripada hampir RM31,000 kepada RM46,000 setahun menerusi musim tambahan penanaman padi.
“Tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan bahawa program peningkatan ini perlu dilaksanakan fasa demi fasa. Awal dahulu, ia diumumkan kira-kira RM5 bilion secara keseluruhan tapi fasa pertama ini adalah RM761.23 juta yang telah ditandatangani dan sedang berjalan.
“Berdasarkan kajian, KPKM bersama-sama MADA menjangkakan bahawa pembangunan infrastruktur pengairan secara menyeluruh di kawasan Muda ini bakal melonjakkan lagi produktiviti hasil padi di kawasan MADA dan seterusnya mampu menjamin kestabilan bekalan beras negara," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kerjasama antara KPKM, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan MADA itu amat penting untuk membangunkan infrastruktur dan sistem saliran yang lebih efisien dan meningkatkan kualiti hidup pesawah.
“Selain itu, ia turut dapat meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan Nilai Teras Malaysia MADANI,” katanya.
-- BERNAMA