AM

INISIATIF KITA GEMPUR BANTU KEKANG PENIAGA TIDAK PATUHI SHMMP KRISMAS - KSU KPDN

23/12/2024 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Inisiatif Kita Gempur yang dilancarkan sejak 19 Okt lepas dapat mengekang tindakan peniaga yang tidak mematuhi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Krismas ini sekiranya, orang ramai bekerjasama menyalurkan maklumat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Sayuthi Bakar berkata penyertaan orang ramai untuk bersama-sama kerajaan dalam membanteras sebarang aktiviti manipulasi dalam perdagangan serta pelanggaran undang-undang adalah amat diperlukan.

Beliau berkata dengan langkah ini, tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi pelaksanaan SHMMP yang sedang dikuatkuasakan mulai hari ini hingga 27 Dis dapat dilaksanakan.

“Peniaga yang gagal mematuhi harga kawalan menerusi SHMMP Krismas boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Mereka (peniaga) perlu menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” katanya selepas menghadiri sesi pemantauan dan penguatkuasaan SHMMP di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000. Manakala, untuk syarikat, denda boleh mencecah sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal pula, bagi individu, boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000. Manakala, untuk syarikat, denda boleh mencecah sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000, katanya.

Pada 20 Dis lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata SHMMP sempena perayaan Krismas melibatkan 14 jenis barangan di seluruh negara.

Beliau berkata barangan yang terlibat adalah barangan keperluan utama semasa Krismas, seperti kambing biri-biri bertulang import, ayam tua hidup (melibatkan Sarawak sahaja), serta daging babi bahagian perut dan daging babi bahagian daging dan lemak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan