AM

MCMC AMBIL TINDAKAN SEGERA TERHADAP PENIPUAN MYPR - TEO NIE CHING

23/12/2024 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang mengambil tindakan segera dalam menangani penipuan melibatkan halaman permohonan MyPR (kad pengenalan merah) di Facebook, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Teo dalam catatan di Facebooknya hari ini menyatakan bahawa beliau telah menerima laporan mengenai laman yang membuat dakwaan palsu boleh membantu dalam permohonan MyPR, malah ada yang menjanjikan kelulusan dalam tempoh 21 hari, dan aktiviti penipuan seperti itu akan disiasat dan pesalah akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya gesa orang ramai untuk terus berwaspada dan mempertikaikan kesahihan perkara yang mereka temukan secara dalam talian, terutamanya apabila ia suatu yang tidak masuk akal. Ingatlah, maklumat yang tidak benar merebak dengan cepat dan gunakan sedikit masa untuk memeriksa sebarang dakwaan, boleh menyelamatkan anda daripada menjadi mangsa.

“Banyak hantaran seperti ini adalah iklan berbayar, yang timbulnya persoalan: bagaimana platform seperti Facebook atau syarikat Meta, membenarkan kandungan seperti itu disiarkan tanpa membuat pengesahan? Ini satu isu pengawasan serius yang menjejaskan keselamatan pengguna,” katanya.

Dalam hantaran itu Teo juga menjelaskan bahawa proses mendapatkan pemastautin tetap di Malaysia adalah suatu proses yang rumit dan panjang, ia melibatkan pelbagai peringkat dan protokol ketat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keselamatan negara, dan adalah mustahil untuk sesiapa tidak mengikut prosedur ini atau memberikan jaminan kelulusan dipercepatkan.

Teo berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu mencerminkan kepentingan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dan Rangka Kerja Perlesenan Media Sosial yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata rangka kerja yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun depan, akan memastikan penyedia platform dipertanggungjawabkan, memastikan mereka bertindak secara beretika dan bertanggungjawab untuk melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.

“Dengan rangka kerja ini, kami boleh memaksa platform seperti Meta, untuk bukan sahaja mengeluarkan iklan yang mengelirukan dengan pantas, tetapi juga mengambil langkah yang lebih ketat untuk mengesahkan isi kandungan, sebelum ia sampai kepada orang ramai.

“Mari kita bersama-sama mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan boleh dipercayai untuk semua orang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan