AM

PENDAFTARAN AIGA 2025 DIBUKA MULAI ESOK

23/12/2024 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Pendaftaran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 akan dibuka mulai esok hingga 23 Feb 2025.

 Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendaftaran AIGA 2025 akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

“Penyertaan AIGA 2025 juga akan dibahagikan kepada dua kategori berbeza bagi sektor awam dan juga swasta. 

“Sesuai dengan status AIGA 2025 sebagai anugerah yang berprestij dalam memartabatkan organisasi yang proaktif dalam pembudayaan integriti dan tatakelola yang baik, IIM akan bekerjasama dengan juruaudit luar yang bertauliah bagi melaksanakan pengauditan terhadap proses penilaian dan penganugerahan pemenang,” menurut kenyataan itu.

Pemenang bagi Anugerah Platinum akan membawa pulang Piala Pusingan, pakej produk serta perkhidmatan IIM bernilai RM50,000 manakala pemenang Anugerah Emas, Perak dan Gangsa, masing-masing akan menerima piala dan sijil penyertaan.

Kenyataan itu memaklumkan, AIGA yang dilaksanakan secara tahunan akan beralih kepada acara dwitahunan bermula tahun hadapan bagi memberi peluang kepada organisasi membuat persediaan dan penambahbaikan dalam usaha pembudayaan integriti dan tatakelola di organisasi masing-masing bagi penyertaan anugerah itu.

AIGA berfungsi sebagai penanda aras bagi organisasi yang ingin membudayakan dan mengamalkan amalan terbaik dalam integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah.

Menerusi anugerah itu, organisasi dapat mengukur tahap keupayaan dan komitmen mereka dalam melaksanakan sistem kawalan dalaman pengurusan integriti serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.

Organisasi awam dan swasta yang berminat untuk menyertai AIGA 2025 boleh mendaftar secara dalam talian di laman web rasmi IIM di www.iim.gov.my dan untuk maklumat lanjut, boleh mengikuti saluran media sosial rasmi IIM.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada sekretariat AIGA 2025 menerusi emel di flagship@iim.gov.my atau hubungi IIM di 019-3021494.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan