SUKAN

MUHAMMAD AFHAM SASAR KEDUDUKAN LIMA TERBAIK PIALA DUNIA REMAJA

23/12/2024 09:35 PM

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Pemain golf muda negara Muhammad Afham Othman berazam meraih kedudukan lima terbaik pada Piala Dunia Remaja 2025 di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jan ini.

Atlet berusia 13 tahun dari Gua Musang itu akan berlepas ke Florida, Rabu ini, dengan ditemani bapanya Othman Ismail, 64, dan jurulatih Dinie Zakie sepanjang 13 hari berada di sana. 

Muhammad Afham berkata beliau layak beraksi di kejohanan berkenaan selepas muncul naib juara dalam Kejohanan Golf Remaja Thailand bulan lepas.

"Saya tidak sangka menjadi lima yang terbaik sehingga layak ke Florida kerana mengikut perancangan asal, penglibatan di kejohanan itu (di Thailand) hanyalah untuk menimba pengalaman," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan penyertaannya ke Piala Dunia Remaja, di sini hari ini.

Muhammad Afham dalam pada itu bersyukur kerana impian untuk ke AS akhirnya tercapai melalui sumbangan beberapa pihak walaupun sebelum ini beliau tidak dapat memutuskan untuk menyertai kejohanan berkenaan memandangkan kos perjalanan yang tinggi.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik yang mula aktif bermain golf sejak berusia 11 tahun itu memaklumkan beliau sangat teruja dan telah membuat persediaan rapi bagi menampilkan aksi terbaik.

Pada kejohanan golf di Thailand bulan lepas, Muhammad Afham menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pemain Korea Selatan Taeoh Ryu yang mengungguli saingan, manakala tempat ketiga menjadi milik atlet Filipina Ralph Rian Woo Batican.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan