JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS RAMPAS ROKOK PUTIH BERNILAI RM473,000

23/12/2024 11:17 PM

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 400,000 batang rokok putih bernilai RM473,000 dan menahan seorang lelaki dalam operasi di Kampung Dalam, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tangkapan dan rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada kira-kira 1.30 pagi ketika menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.

“Semasa operasi itu, polis telah menahan dua buah kereta yang dilihat dalam keadaan mencurigakan, susulan itu seorang suspek berusia 28 tahun ditahan manakala seorang lagi berjaya melarikan diri setelah meninggalkan kereta di tepi jalan. 

“Hasil pemeriksaan mendapati lebih 400,000 batang rokok putih bernilai RM473,000 ditemui di dalam dua kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai menjadi penghantar untuk membawa rokok tersebut ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.  

Dalam kes berasiangan, Nik Ros Azhan berkata sepasukan anggota Batalion 9 PGA menggagalkan cubaan menyeludup 435 unit beg tangan tiruan berjenama bernilai RM435,000 di hadapan sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Pasir Mas, pada Sabtu lepas.

Beliau berkata rampasan dilakukan pada 6.30 petang selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana menjadi penghantar untuk menyeludup beg tangan tiruan tersebut dari Thailand ke pasaran tempatan. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 manakala suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan