BUKIT MERTAJAM, 24 Dis (Bernama) -- Kira-kira 50 batang pokok Tecoma yang ditanam dalam kawasan taman rekreasi River Trail Kolam Teratai Sungai Rambai di sini didapati mati akibat disyaki diracun oleh individu tidak bertanggungjawab.
Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Bernard Cheen Goon Hooi memaklumkan menerima aduan daripada orang awam pada Sabtu lepas yang mengesyaki sesuatu tidak kena dengan pokok-pokok di situ apabila dedaunnya didapati luruh dan kering sebelum mati.
“Mulanya saya sangka pokok-pokok ini meluruhkan daun sebab cuaca panas dan kering, tetapi selepas melihat sendiri keadaan di sini semalam, saya dapati perkara sebaliknya berlaku. Terlalu banyak pokok yang terkesan, ada yang sudah kering dan ada yang daunnya kekuningan dan hampir mati.
“Berdasarkan pemerhatian, bahagian pangkal pokok-pokok ini seperti telah dicurahkan dengan cecair kemungkinan racun kerana boleh dilihat dengan jelas lalang-lalang yang tumbuh di sekelilingnya telah kering dan mati,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan di lokasi itu hari ini.
Bernard berkata siasatan masih dijalankan bagi mengesan pelaku berkenaan dan punca dia bertindak sedemikian.
Beliau berkata pokok-pokok itu juga berkemungkinan diracun sedikit demi sedikit sejak lebih sebulan lepas hingga jumlah yang mati bertambah menjadi kira-kira 50 batang daripada keseluruhan 65 pokok yang ditanam di laluan trek berbasikal dan joging di situ.
Susulan itu, beliau berkata laporan polis akan dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil selain menghantar sampel ke jabatan kimia bagi tujuan pengesahan.
Bernand memaklumkan kejadian berkenaan menyebabkan MBSP kerugian lebih RM100,000, sementara pokok-pokok yang mati itu akan ditebang dan ditanam semula dengan pokok baharu.
-- BERNAMA