AM

BBP BENTA BERI MANFAAT KEPADA 30,000 PENDUDUK

24/12/2024 04:05 PM

LIPIS, 24 Dis (Bernama) -- Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Benta bernilai RM4.5 juta yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan akan memberi manfaat kepada 30,000 penduduk sekitarnya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan itu amat diperlukan bagi mengatasi masalah kecemasan memandangkan BBP terdekat terletak sejauh 30 kilometer.

"Jika berlaku kecemasan, bantuan dapat diberikan pada kadar cepat kepada penduduk sekitar kawasan Benta. Jika dahulu, mengambil masa 30 minit untuk bomba sampai, tetapi dengan adanya BBP Benta, ia dapat dipendekkan kepada beberapa minit sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah BBP Benta di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohamad.

Wan Rosdy berkata pembinaan BBP Benta tidak hanya meliputi balai bomba tetapi turut melibatkan kuarters pegawai dan anggota di tapak yang sama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata dengan adanya BBP Benta, kerugian besar akibat sebarang bencana dapat dikurangkan apabila tugas menyelamat dapat dilakukan segera. 

“BBP Benta tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk sekitar Benta, bahkan ia boleh memberi bantuan kepada penduduk di  luar daerah yang berdekatan.

"Selain itu, ia juga akan membantu BBP Raub dan BBP Lipis apabila proses menyelamat tidak hanya tertumpu kepada mangsa banjir dan kebakaran, tetapi juga kejadian kemalangan di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU)," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta.

BBP Benta merupakan projek pembinaan balai bomba kategori D yang akan dilaksanakan di atas tapak berkeluasan 3,022 hektar, dilengkapi ruang jentera, padang kawad dan menara, stor logistik serta kemudahan lain.

Cadangan pembinaan BBP Benta pada asalnya merupakan projek pembangunan balai bomba dan kuarters yang telah diluluskan kerajaan pada 2023 di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

BBP Benta akan beroperasi dengan kekuatan 28 orang pegawai diketuai Ketua Balai Gred KB3 dengan menyasarkan perlindungan kebakaran bawah 10 minit.

Difahamkan, pembinaannya akan bermula pada 23 Oktober tahun depan dan apabila siap kelak, ia bakal menjadi BBP ke-31 di negeri ini selepas projek pembinaan BBP Sungai Lembing dan BBP Goh Tong Jaya selesai.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan