JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM, MCMC PERGIAT USAHA KESAN INDIVIDU MILIKI, EDAR BAHAN LUCAH DAN CSAM

25/12/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mempergiatkan usaha mereka untuk menjejak individu yang memiliki, menyimpan dan mengedar bahan lucah serta bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM). 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya juga akan terus menjalankan Op Pedo dari semasa ke semasa bagi mencegah kegiatan berkenaan.

"Kita bekerjasama dengan MCMC bagi mengesan dan mendapatkan maklumat berkaitan, PDRM juga sedang mengenal pasti sama ada terdapat penglibatan sindiket dalam kegiatan berkenaan atau dilakukan secara individu.

“Individu lain yang terlibat dalam kegiatan ini juga sedang dikesan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini juga boleh menyalurkannya kepada PDRM bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Razarudin dalam kenyataannya berkata seorang warga emas antara 13 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan CSAM dalam Op Pedo Isnin lepas.

Razarudin berkata suspek berumur 74 tahun itu dan 12 yang lain ditahan dalam operasi bersepadu bersama MCMC di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.

Turut dirampas dalam op berkenaan adalah 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa selain tujuh komputer, 11 telefon bimbit, sembilan router, tujuh modem serta masing-masing satu komputer riba, cakera video digital dan cakera keras.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan