PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Pembangunan repositori data sains, teknologi dan inovasi (STI) yang komprehensif serta memperkukuh keupayaan analisis data adalah antara inti pati digariskan dalam memorandum persefahaman (MoU) dimeterai Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), Institut Sains dan Teknologi Maklumat Korea (KISTI) serta Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa bagi Kerjasama Selatan-Selatan (ISTIC).
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU yang dimeterai antara ketiga-tiga pihak di KISTI, Korea Selatan pada 17 Dis mencerminkan visi bersama untuk memanfaatkan STI bagi tujuan pembentukan dasar berinformasi, inovasi strategik serta pembangunan sosioekonomi.
“MASTIC telah mengorak langkah ke hadapan dengan melaksanakan kerjasama dengan KISTI melalui pemeteraian MoU antara ISTIC dan KISTI, bagi memajukan pengurusan dan analisis data STI negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, MOSTI memberitahu Timbalan Pengarah MASTIC Karen George Abraham yang mewakili MOSTI pada majlis berkenaan, menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting dalam transformasi Malaysia ke arah pembuatan keputusan berasaskan data STI dengan memanfaatkan analisis data serta sistem repositori.
Kerjasama itu merangkumi pelbagai aktiviti iaitu penganjuran bengkel dan program latihan secara bersama mengenai metodologi analisis data, perkongsian kepakaran dan teknologi untuk meningkatkan sistem pengurusan data STI serta melaksanakan kajian dan projek bersama untuk meneroka trend baharu dalam STI.
-- BERNAMA