KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Cabang perniagaan kepada perniagaan Telekom Malaysia Bhd (TM), TM One dan Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC) mengumumkan fasa seterusnya kerjasama strategik untuk meningkatkan ekonomi, masyarakat digital dan perkhidmatan kerajaan di Sarawak melalui ketersambungan lebih baik.
TM One dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian perkhidmatan induk untuk memperluas infrastruktur digital Sarawak bagi meningkatkan ketersambungan dan mempercepat penerapan teknologi canggih serta perkhidmatan pintar dalam mendorong transformasi digital negeri ini.
“Kerjasama ini merangkumi penyelesaian Metro-E TM One, iaitu sambungan jalur lebar fleksibel, selamat dan berprestasi tinggi yang boleh diskalakan hingga 10 Gbps.
“Ia menyediakan akses khusus untuk aplikasi kritikal, pemantauan keselamatan proaktif dan liputan di seluruh negara untuk memenuhi tahap perkhidmatan yang diperlukan oleh perusahaan dan agensi kerajaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan juga sejajar dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030.
TM One berkata projek selama lima tahun ini juga akan menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi ke kawasan yang kurang mendapat liputan dan luar bandar, menyokong sektor penting seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan perniagaan tempatan.
Ini akan memudahkan pengkomputeran awan, teleperubatan, pendidikan dalam talian dan pelbagai penyelesaian digital lain sekali gus meningkatkan kemajuan digital di Sarawak, katanya.
Kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian dalam komitmen TM untuk mendayakan transformasi digital Malaysia dan menerajui pertumbuhan industri melalui pendigitalan dan kelestarian.
Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim berkata projek Metro-E akan memperkukuh ekonomi digital Sarawak, memupuk inovasi, memperbaiki akses kepada perkhidmatan digital dan merapatkan jurang digital di pelbagai lokasi.
“Sambungan berkelajuan tinggi di 81 tapak ini penting untuk penerapan teknologi canggih, meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan operasi,” katanya.
-- BERNAMA