EKONOMI

ASEAN BERPOTENSI DALAM EKONOMI DIGITAL, RANTAIAN BEKALAN DITERAJU ANGGOTA BRICS

05/12/2024 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Negara anggota ASEAN mampu memanfaatkan peluang besar dalam sektor ekonomi digital, pembuatan dan rantaian bekalan diterajui negara-negara BRICS, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya sektor ekonomi digital berpotensi tinggi berikutan kemajuan pesat dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), termasuk demografi penduduk ASEAN yang hampir separuh daripadanya berumur 30 tahun ke bawah.

"Kalau kita lihat, kerjasama dengan negara-negara BRICS dalam bidang e-dagang, kita boleh lihat teknologi kewangan dan inovasi digital ini dapat membuka jalan baharu untuk mempergiat inisiatif perdagangan dalam usaha kita bersama negara ASEAN lain dan BRICS," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) bagaimana Malaysia dapat memanfaatkan potensi pasaran dikuasai anggota BRICS dan sektor yang memberi peluang terbesar kepada ASEAN.

Tengku Zafrul berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut berpeluang mewujudkan sinergi antara rakan dialog termasuk BRICS. 

Katanya Malaysia dapat memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara berkenaan sekali gus memanfaatkan potensi akses pasaran seperti peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Rangkaian nilai sektor pembuatan di Malaysia dan ASEAN mampu dipertingkatkan melalui kerjasama dengan negara BRICS, China dan India. Oleh itu, kerajaan bercadang mempertingkat perjanjian perdagangan bebas dengan negara dialog termasuk China dan India semasa Kepengerusian ASEAN tahun hadapan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata selain itu, kepengerusian ASEAN 2025 akan turut membincangkan mengenai pemindahan maklumat dan perkongsian sumber.

"Jadi, pengukuhan daya tahan daya bekalan (dapat dicapai) melalui kepelbagaian penghasilannya dalam sektor pembuatan dan kita mahu mengurangkan gangguan akibat ketidaktentuan geopolitik sekali gus kita dapat menaikkan daya saing di rantau ini," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan