GEORGE TOWN, 28 Dis (Bernama) -- Iconic Penang Sdn Bhd, anak syarikat Iconic Worldwide Bhd, hari ini merasmikan Hotel Iconic Majorie yang juga sebahagian Hotel Portfolio Tribute di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Perasmian hotel itu turut menyertai portfolio jenama, program pelancongan selain menyediakan peluang menikmati tawaran pengalaman menarik disediakan oleh Marriott International.
Pengarah Urusan James Tan berkata menerusi kerjasama dengan Marriott International, Iconic Penang telah membangunkan hotel bertaraf lima bintang dilengkapkan dengan 298 bilik bagi meningkatkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama bagi pelancong dan pelabur.
“Hotel mewah ini akan menarik kehadiran pelancong peringkat atasan, menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan Pulau Pinang selain meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar selain mengukuhkan lagi reputasi negeri itu di persada global," katanya pada majlis perasmian hotel itu di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai.
Tan berkata Hotel Iconic Marjorie juga adalah hotel pertama di Pulau Pinang yang mencapai standard emas berprestij dari segi indeks bangunan hijau, sekali gus mencerminkan komitmen kumpulan bagi aspek kemampanan dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus sepanjang perniagaan.
Beliau berkata kerjasama erat bersama Hirsch Bedner Associates membantu kumpulan merangka pengalaman seni bina dan falsafah reka bentuk unik yang menghargai budaya Baba-Nyonya Pulau Pinang.
Sementara itu Chow berkata pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti akan membuka peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan pekerjaan.
“Hotel ini misalnya, memberi impak langsung ke atas ekonomi, menawarkan pelbagai peluang pekerjaan serta menyokong kesejahteraan komuniti di sekitarnya.
“Kita juga akan melihat lebih banyak peluang untuk kalangan pemain industri, seperti Iconic dan Marriot untuk melabur serta berkembang di Pulau Pinang," katanya.
Chow berkata menerusi idea gabungan budaya Peranakan dengan reka bentuk kontemporari itu turut membolehkan Iconic dan Marriott mewujudkan destinasi premium serba unik untuk pelancong dan pelabur.
"Saya yakin hotel ini pastinya dapat menyumbang kepada reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan global," katanya.
Dalam pada itu, Hotel Iconic Majorie yang dibangunkan dengan pelaburan bernilai RM180 juta, adalah projek hotel kedua kumpulan berkenaan selepas Iconic Hotel di Seberang Perai pada 2016.
Hotel itu terletak bersebelahan Iconic Regency, pembangunan kediaman servis pegangan bebas sebanyak 268 unit oleh kumpulan Ikonik, yang turut dilancarkan hari ini.
Marriott International telah bertapak kukuh dengan rangkaian lebih daripada 1,000 hotel dan pusat peranginan di rantau Asia Pasifik.
-- BERNAMA