AM

PROGRAM PEMIMPIN MASA DEPAN JSJ UJI KETAHANAN MENTAL, FIZIKAL ANGGOTA POLIS

29/12/2024 05:25 PM

IPOH, 29 Dis (Bernama) -- Seramai 30 pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyertai Program Pemimpin Masa Depan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM 2024 yang diadakan dari 16 Dis hingga hari ini di sekitar Banjaran Titiwangsa.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata program julung kali diadakan dengan kerjasama Komando VAT 69 itu melibatkan beberapa lokasi seperti Blue Valley, Gunung Challi, Gunung Yong Belar, Gunung Gayong, Gunung Korbu serta Hutan Simpan Bukit Kinta.

“Program hasil cetusan idea Pengarah JSJ Bukit Aman Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ini julung kali diadakan dan mendapat kerjasama Komando VAT 69, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan IPK Pahang.

“Anggota yang menyertai program ini didedahkan dengan pelbagai latihan mencabar fizikal dan mental terutama membabitkan survival dalam hutan,” katanya selepas merasmikan penutupan program itu di Empangan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Beliau berkata program itu juga wajar diperluas ke jabatan atau unit lain (polis) kerana ia dilihat berpotensi memupuk semangat dan kerjasama berpasukan.

“Latihan ini bukan mudah dan ia memerlukan kerjasama berpasukan bagi melepasi segala rintangan yang ada dalam hutan. Saya yakin selepas latihan ini semangat kerjasama akan bertambah mantap,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata cuaca menjadi cabaran utama terpaksa dihadapi para pegawai dan anggota sepanjang menghabiskan latihan.

“Boleh dikatakan sepanjang masa kami dalam keadaan lembap dan basah. Ditambah dengan beban yang dibawa, sememangnya menguji kekuatan mental dan fizikal sepanjang dalam hutan,” katanya.

Beliau berkata program seumpama itu akan terus dilaksanakan di peringkat JSJ Bukit Aman bagi meningkatkan tahap kerjsama berpasukan antara satu sama lain.

“Namun, latihan selepas ini akan disuntik elemen survival, kita mungkin akan putuskan bekalan makanan selama 24 atau 48 jam. Jadi, kita akan lihat bagaimana mereka mengendalikan mental dan fizikal,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan