Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) menggesa pemegang polisi insurans yang terkesan supaya tidak menamatkan polisi masing-masing susulan pelarasan premium selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan langkah sementara untuk mengawal premium insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).
Pada 20 Dis, BNM mengumumkan langkah interim untuk membantu pemegang polisi yang terkesan berikutan semakan premium MHIT dan menekankan kepentingan untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan perlindungan insurans.
Presiden MFPC Andy Ng Yen Heng berkata pemegang polisi perlu memanfaatkan sepenuhnya langkah itu dan mengutamakan pengekalan perlindungan insurans masing-masing.
Beliau berkata perlindungan insurans adalah asas perancangan kewangan.
“Kehilangan perlindungan boleh menyebabkan individu rentan dari segi kewangan ketika keadaan luar jangka, dan penjagaan kesihatan awam, walaupun menjadi alternatif, boleh memberikan cabaran seperti masa menunggu yang lebih lama atau akses terhad kepada rawatan pilihan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Langkah interim itu termasuk melaksanakan perubahan premium yang diagihkan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, menangguhkan pelarasan premium bagi warga emas, menyambung semula polisi yang telah luput tanpa pengunderaitan tambahan serta menyediakan produk alternatif pada premium yang sama atau lebih rendah, katanya.
Nasihat Praktikal kepada Pemegang Polisi
Ng menggalakkan mereka yang mempunyai polisi yang telah tamat atau luput supaya menyambung semula perlindungan masing-masing dengan segera di bawah langkah interim itu.
Beliau juga menyeru individu supaya menyemak pelan kewangan masing-masing bagi memenuhi penyesuaian premium.
“Individu yang terkesan perlu menilai aliran tunai mereka, mengurangkan perbelanjaan pilihan, dan berunding dengan penasihat profesional untuk memastikan keperluan penjagaan kesihatan mereka dipenuhi tanpa menjejaskan kestabilan kewangan jangka panjang.
“Bagi pemegang polisi baharu atau yang menambah baik polisi, kami mencadangkan untuk menyemak manfaat pelan yang dicadangkan dengan teliti bagi memastikan pelan itu selaras dengan keperluan peribadi, belanjawan dan kemampanan pembayaran premium,” katanya.
Ng berkata tindakan menambah baik atau menggantikan polisi sedia ada membawa risiko seperti kemungkinan penolakan tuntutan bagi keadaan sedia ada dalam tempoh yang perlu dicapai selepas sijil diluluskan untuk manfaat berkaitan dilindungi, atau di bawah klausa pengecualian.
“Nasihat profesional sangat berharga dalam membuat keputusan ini,” katanya.
Saranan Penyelesaian Jangka Masa Panjang
Ng berkata kerjasama jangka masa panjang adalah perlu untuk menangani hal inflasi kos perubatan, yang dijangka meningkat sebanyak 15 peratus pada 2024, jauh melebihi purata global dan serantau.
“Langkah interim ini merupakan kelegaan yang tepat pada masanya, namun kami menyeru Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, BNM, dan pihak berkepentingan untuk membangunkan strategi mampan bagi mengekang peningkatan kos perubatan dan mencipta produk MHIT berasaskan nilai,” katanya.
Sebelum ini, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata punca utama kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan yang didorong oleh kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan perubatan yang lebih tinggi perlu ditangani.
Ng berkata penciptaan produk MHIT juga perlu dipertingkat bagi menjadikannya lebih mampan dan selaras dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang mengutamakan hasil kesihatan yang lebih baik.
“Ini adalah cabaran yang memerlukan tindakan bersama daripada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan,” katanya.
-- BERNAMA