EKONOMI

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH

30/12/2024 10:40 AM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, menjejaki prestasi Wall Street yang lemah pada Jumaat lepas.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.65 mata kepada 1,626.49 daripada 1,628.14 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.0 mata kepada 1,626.14.

Sentimen pasaran negatif sedikit, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 154 berbanding 148. Sejumlah 322 kaunter kekal tidak berubah, 1,788 tidak diniagakan dan 66 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 126.96 juta unit bernilai RM55.91 juta.

Wall Street ditutup rendah pada Jumaat lepas, didorong oleh saham teknologi berikutan ketidakpastian mengenai dasar ekonomi dan tarif Donald Trump.

Sementara itu, hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) kekal tinggi pada 4.631 peratus.

Rakuten Trade Sdn Bhd percaya FBM KLCI akan mengakhiri 2024 pada paras lebih tinggi, dengan 1,650 sebagai paras halangan segera.

“Kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan berada antara 1,630 dan 1,640 hari ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.12, CelcomDigi naik tiga sen kepada RM3.68, Petronas Gas meningkat enam sen kepada RM17.66 manakala IHH Healthcare dan Hong Leong Bank, masing-masing mendatar pada RM7.23 dan RM20.36.

Public Bank merosot dua sen kepada RM4.55 dan CIMB berkurangan lima sen kepada RM8.10.

Dalam kalangan saham aktif, TWL Holdings naik setengah sen kepada tiga sen, Supermax meningkat tiga sen kepada RM1.31, MUI Properties menambah dua sen kepada 45.5 sen manakala Aneka Jaringan dan PUC, masing-masing mendatar pada 16 sen dan 4.5 sen.

ECA Integrated merosot tiga sen kepada 26 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 5.66 mata kepada 12,476.09, Indeks FBM Emas Shariah susut 0.13 mata kepada 12,488.96 dan Indeks FBMT 100 merosot 7.76 mata kepada 12,157.41.

Indeks FBM 70 naik 5.11 mata kepada 18,710.78 dan Indeks FBM ACE menambah 1.75 mata kepada 5,351.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 33.78 mata kepada 19,008.18, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.62 mata kepada 174.05 manakala Indeks Tenaga naik 1.15 mata kepada 825.80 dan Indeks Perladangan meningkat 4.37 mata kepada 7,607.38.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan