AM

LEBIH 11 SPESIES, TARIKAN PENGUNJUNG DI TAMAN ORKID SEREMBAN

30/12/2024 03:32 PM

SEREMBAN, 30 Dis (Bernama) -- Taman Orkid yang terletak di Jalan Keliling di sini bukan sahaja menyajikan spesies bunga orkid memukau, tetapi juga menawarkan keindahan alam yang menenangkan, sekali gus menjadikannya destinasi menarik untuk dikunjungi pencinta flora. 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban Datuk Masri Razali berkata pihaknya sentiasa melaksanakan pengindahan taman itu bagi memastikan pokok bunga berkenaan kekal segar dan tumbuh subur.

"Kerja-kerja mengindahkan kawasan ini terus giat dilaksanakan, kita ada Jabatan Landskap yang bertanggungjawab untuk menjaga taman ini supaya sentiasa dipelihara dengan baik. Penjagaan termasuk baja dan sebagainya dilakukan secara berkala.

“Kita juga sedang giat laksanakan promosi termasuk di media sosial. Memang ada kekangan parkir di kawasan itu, tetapi MBS sedang berusaha mencari alternatif,” katanya yang optimis pelbagai usaha promosi dan penambahbaikan fasiliti mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

Beliau menganggarkan 100 pelawat berkunjung ke taman itu setiap bulan, dan jumlah kehadiran biasanya meningkat dengan ketara pada musim cuti sekolah.

Masri berkata bagi penggemar bunga liar, taman itu menjanjikan keseronokan untuk melihat sendiri keindahan bunga orkid berkenaan dan sekiranya bernasib baik pengunjung berpeluang melihat bunga yang sedang mengembang seolah-olah ‘memanggil’ mereka untuk melihat lebih dekat.

Berkeluasan lebih empat ekar (1.62 hektar) dengan topografi berbukit dan berteres, taman dengan lebih 11 spesies bunga orkid yang berwarna-warni termasuk Vanda, Mokara, Aranda, Arachnis dan Oncidium itu mampu menggamit pemandangan pengunjung yang mahu ‘lari’ sekejap daripada kesibukan kota.

Selain dihiasi dengan tumbuhan berbunga, sebuah kolam besar dipenuhi pelbagai spesies ikan juga menambahkan lagi keindahan, dan menjadikan setiap sudut taman itu menarik perhatian terutama bagi yang ingin bergambar kenangan bersama keluarga dan rakan.

Seorang pengunjung, Nurazwani Ismail, 36, berkata beliau baharu pertama kali ke taman itu walaupun sudah beberapa kali bercuti di Seremban, dan sama sekali tidak menjangka terdapat Taman Orkid di kawasan berkenaan.

“Selalunya kami sekeluarga dari Melaka datang ke Seremban untuk makan-makan sahaja, tadi pun baharu sahaja selesai makan di Restoran Nelayan, rupa-rupanya Taman Orkid ini dekat sahaja dengan restoran itu, boleh singgah sebentar selepas makan.

“Mungkin disebabkan kawasan itu kurang promosi, kita sebagai orang luar dari negeri ini tidak perasan, jadi tempat ini perlu ada promosi kerana ia sangat berbaloi untuk dikunjungi terutama bagi penggemar bunga," katanya ketika ditemui Bernama di taman itu baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung Mohd Adnan Hassan, 42, turut melahirkan keterujaannya melihat pelbagai spesies bunga yang disifatkannya sukar untuk ditemukan terutama ditanam di taman yang terletak di tepi jalan, kerana ia memerlukan penjagaan rapi.

"Sangat menarik, kita dapat melihat bunga orkid secara lebih dekat dengan spesies yang mungkin jarang dilihat, bukan senang nak jumpa pokok bunga orkid banyak seperti ini, memang saya selalu datang bawa anak-anak ke sini," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan