AM

KDN KOMITED PERKUKUH KESELAMATAN SEMPADAN, LINDUNGI NEGARA 

30/12/2024 05:03 PM

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan di seluruh negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dilindungi. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagaimana yang ramai sedia maklum kewujudan “lorong tikus” di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu cabaran besar dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya hari ini beliau berkata KDN sedang menjalankan inisiatif menyediakan solusi, menggunakan teknologi yang membabitkan kos yang lebih rendah berbanding pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata agensi “bongsu” KDN iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) juga bakal memulakan operasi mereka di Rantau Panjang, Kelantan.

“Insya-Allah ini akan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia. Keselamatan sempadan negara adalah keutamaan saya semenjak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata selain itu pelbagai inisiatif dan penambahbaikan dilakukan Jabatan Imigresen bagi mengatasi kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura, antaranya penggunaan kod QR bagi bas dan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor. 

“Penggunaan autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Terminal 2 dan BSI juga telah membantu melancarkan proses kemasukan ke Malaysia,” katanya.


Beliau berkata aspek kebajikan turut diberi perhatian KDN dalam memastikan keselamatan sempadan negara terjamin.

“Kekuatan sebenar bermula dengan mereka (anggota) yang menjaga sempadan kita. Di Padang Besar di Perlis, kami telah menyiapkan projek perumahan untuk anggota keselamatan, lengkap dengan kemudahan seperti masjid, dewan serbaguna, dan taman permainan. 

“Ini bukan hanya pelaburan dalam keselamatan negara tetapi juga dalam kebajikan mereka yang bertugas menjaga kita semua,” katanya.

Saifuddin Nasution menegaskan keutamaannya ketika ini adalah bagi memastikan setiap langkah yang diambil melalui teknologi hingga kerjasama antarabangsa, mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan